Kabinet Sabah setuju penubuhan 500 MPKK baharu

Ewon Benedick
Ewon Benedick
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah bersetuju untuk mewujudkan 500 badan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di seluruh Sabah sebagai tambahan kepada 2,853 MPKK sedia ada.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah (KPLB), Datuk Ewon Benedick berkata kementeriannya telah mengesyorkan supaya sejumlah 500 kampung di seluruh Sabah diwujudkan MPKK baharu.

Beliau berkata syor itu dibuat berasaskan kepada keperluan sebenar iaitu satu kampung satu MPKK bagi memudahkan urus tadbir pembangunan dan hal berkaitan di setiap kampung.

"Memang berlaku selama ini terdapat satu badan MPKK (yang sebelum ini dikenali sebagai JKKK - Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung) meliputi kawasan sehingga tiga kampung.

"Contohnya dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian, MPKK bagi Kampung Taginambur Jaya meliputi tiga kampung iaitu Taginambur Jaya, Tamalang dan Bukit Bendera. Begitu juga dengan kawasan DUN Moyog iaitu MPKK bagi Kampung Babagon meliputi Babagon, Timpangoh dan Timpoluon.

"Syor itu juga dibuat kerana pentadbiran daerah di seluruh Sabah kini mencakupi 26 daerah penuh dan 10 daerah kecil, yang banyak perkampungan sedia ada bertambah besar dan banyak perkampungan baru telah dibina," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Ewon yang juga ADUN Kadamaian berkata senarai 500 kampung tersebut berdasarkan kepada senarai yang dikemukakan oleh pejabat daerah seluruh negeri kepada KPLB Sabah.

"Sebagai makluman, penambahan MPKK (JKKK) tidak dibuat sejak tahun 1980-an. Oleh itu sukacita saya memaklumkan bahawa Kabinet Kerajaan Negeri Sabah telah bersetuju kepada syor kementerian tersebut," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: