Sultan sayangi rakyat

Kenangan Almarhum bersama penerima penganugerahan pingat di Istana Abu Bakar, Pekan.
Kenangan Almarhum bersama penerima penganugerahan pingat di Istana Abu Bakar, Pekan.
A
A
A

KUANTAN - Seluruh rakyat Pahang berduka dengan berita kemangkatan Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Muadzam Shah yang mangkat di Kuala Lumpur semalam.

Kemangkatan baginda yang sinonim dengan prinsip ‘Raja dan Rakyat Berpisah Tiada’ ibarat kehilangan seorang bapa yang memayungi rakyat jelata.

Prinsip itu dilihat begitu sebati dengan Almarhum Sultan Ahmad kerana baginda sentiasa menyantuni rakyat tanpa mengira masa.

Demikian gambaran betapa dekatnya Almarhum di hati rakyat Pahang sewaktu hayatnya.

Baginda sewaktu pemerintahannya selama 45 tahun telah memayungi negeri Tok Gajah ini dengan cukup prihatin terhadap nasib rakyatnya dan keperibadian itu terserlah merentasi sempadan masa dan usia baginda.

Baginda merupakan seorang raja yang sangat disegani rakyat kerana keperibadiannya yang merendah diri dan sentiasa mendampingi rakyat terutama apabila berlaku sesuatu bencana.

Tanpa mengira protokol dan darjat sebagai seorang yang berdarah diraja, baginda merupakan antara orang yang terawal akan ‘menyinsing seluar’ mencemar duli melawat daerah-daerah di Pahang setiap kali berlaku bencana terutama banjir, untuk menghulur bantuan dan berkongsi derita serta keluh kesah dengan rakyat.

Artikel Berkaitan:


KENANGAN... Almarhum Sultan Ahmad Shah berkata sesuatu kepada penghuni Taman Pengasih ketika Majlis Perasmian Taman Pengasih Sultan Haji Ahmad Shah Bandar Indera Mahkota. Di kanan baginda ialah Sultanah Kalsom.
KENANGAN... Almarhum Sultan Ahmad Shah berkata sesuatu kepada penghuni Taman Pengasih ketika Majlis Perasmian Taman Pengasih Sultan Haji Ahmad Shah Bandar Indera Mahkota. Di kanan baginda ialah Sultanah Kalsom.

Walaupun Pahang merupakan antara negeri yang kerap dilanda banjir setiap kali musim tengkujuh, namun baginda tidak pernah jemu untuk meranduk air, berhujan dan menaiki bot bagi membantu mangsa dan pernah mengerah tukang masak istana memasak untuk mangsa banjir di pusat-pusat pemindahan.

Bagi Almarhum Sultan Ahmad, rakyat adalah keutamaannya dan baginda yang lebih mesra membahasakan dirinya`saya’ juga sentiasa memantau pembangunan di Pahang dan tidak teragak-agak untuk menegur pihak yang terlibat jika mendapati sesuatu projek itu boleh membawa mudarat kepada rakyat.

Ini terbukti apabila Almarhum menzahirkan kemurkaan dan rasa dukacita terhadap aktiviti penerokaan tanah secara haram untuk tujuan pertanian di Cameron Highlands pada November 2014.

Begitu juga semasa kejadian tanah runtuh di Kilometer 52.4, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) pada November 2015, walaupun dalam keadaan keuzuran, baginda tetap turun padang melihat sendiri bencana itu dan mengarahkan penyelesaian dicari bagi mengelakkan masalah sama berulang.

Dalam kalangan pengamal media pula, baginda turut disayangi dan disenangi kerana sifat mesra baginda yang tidak keberatan untuk ditemubual setiap kali ditemui pada satu-satu majlis.

Keperibadian mulia baginda itu sesungguhnya banyak membantu dalam membangunkan negeri demi kesejahteraan rakyat.