Bumi Pahang hiba sambut kepulangan jenazah Almarhum Sultan Ahmad Shah

Istiadat jejawat mengusung keranda jenazah Almarhum ke dalam kenderaan khas untuk dibawa ke Istana Abu Bakar, Pekan.
Istiadat jejawat mengusung keranda jenazah Almarhum ke dalam kenderaan khas untuk dibawa ke Istana Abu Bakar, Pekan.
A
A
A

KUANTAN - Suasana hiba menyelubungi negeri ini sebaik sahaja jenazah Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Muadzam Shah tiba di Pangkalan Udara Kuantan, pada 7.25 petang.

Ditambah pula, cuaca mendung sebelum gerimis membasahi ketika pesawat A400M membawa jenazah Almarhum dari Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, Selangor tiba di sini.

Jenazah baginda diiringi Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Arif Temengggong, Tengku Fahd Muadzam Shah serta kerabat diraja.

Istiadat menyambut ketibaan jenazah dimulakan dengan hormat diraja, tafakur dan upacara junam senjata diakhiri dengan lagu negeri Pahang.

Selepas itu, jejawat mengusung keranda jenazah Almarhum ke dalam kenderaan khas untuk dibawa ke Istana Abu Bakar, Pekan.

Selain kerabat diraja, turut berada di pangkalan itu untuk menyambut ketibaan jenazah Almarhum ialah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak dan Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman.

Bekas Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, barisan anggota Mesyuarat Kerajaan Negeri dan wakil-wakil rakyat negeri ini turut berada di pangkalan udara bagi menunggu jenazah Almarhum.

Kira-kira 500 orang memenuhi pangkalan udara sejak dari petang untuk menyambut ketibaan jenazah Almarhum.

Artikel Berkaitan:

Orang ramai juga kelihatan berada di sepanjang jalan di Pangkalan TUDM bagi memberi penghormatan terakhir buat raja berjiwa rakyat itu.

Jenazah Almarhum seterusnya dibawa ke Istana Abu Bakar di Pekan, dengan menaiki van jenazah pada 7.50 petang diiringi tujuh motosikal Polis Diraja Malaysia.

Sultan Ahmad Shah mangkat pada usia 88 tahun di Institut Jantung Negara di Kuala Lumpur pada 8.50 pagi tadi.

Almarhum akan dimakamkan di Makam Diraja di Pekan, selepas Zohor esok.

Baginda merupakan Sultan Pahang kelima dan ayahanda kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah.