KPDNHEP sita barang jenama tiruan

Azeem (tengah) memegang Chanel tiruan yang dijual serendah RM200.
Azeem (tengah) memegang Chanel tiruan yang dijual serendah RM200.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Beg tangan jenama Chanel bernilai RM20,000 dijual dengan harga serendah RM200 antara barang tiruan dirampas oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam operasi dijalankan, semalam.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Azeem Nazuri berkata, sebanyak 579 unit dengan nilai sitaan RM27,570 dirampas dalam serbuan di dua premis di sebuah pusat beli-belah di Bukit Bintang.

Menurutnya, sitaan dilakukan di bawah Seksyen 8(2) Akta Perihal Dagangan 2011 berdepan denda antara RM10,000 sehingga RM15,000 bagi setiap barang diletakkan perihal dagangan palsu bagi kesalahan pertama.

"Hasil pemeriksaan mendapati terdapat barang disyaki tiruan terdiri tali pinggang, beg tangan, dompet, kasut dan baju yang menggunakan perihal dagangan palsu.

Azeem (tengah) bersama sebahagian barang tiruan yang dirampas dalam operasi di Bukit Bintang, semalam.
Azeem (tengah) bersama sebahagian barang tiruan yang dirampas dalam operasi di Bukit Bintang, semalam.

"Ia termasuk jenama Louis Vuitton, Gucci, Chanel, Puma, Nike, Yves Saint Laurent dan Adidas. Sepasang kasut berjenama dijual serendah RM50 berbanding RM250 yang asli," katanya pada sidang media di pejabat KPDNHEP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Sunway Putra Tower, hari ini.

Dalam operasi sama katanya, empat lelaki warga Bangladesh disyaki pekerja premis ditahan di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

"Lelaki berusia lingkungan 20 hingga 30-an diperintah reman empat hari sehingga Jumaat ini untuk siasatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

"Tiga daripadanya mempunyai permit tapi melibatkan sektor pekerjaan berbeza sementara seorang daripadanya memiliki pasport," katanya.

Seramai lapan pegawai dan wakil pemilik cap dagangan berdaftar terlibat dengan operasi bermula jam 2 petang itu.

Sehingga semalam, sebanyak 47 kes di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 dengan jumlah sitaan sebanyak 44,832 unit dan nilai sitaan sebanyak RM1.6 juta.