Dua beradik terima pencen penakat

Shing Chuang (kiri) menyampaikan sumbangan sempena Ramadan kepada keluarga Mohd Izwan (empat dari kanan) di kediaman mereka hari ini.
Shing Chuang (kiri) menyampaikan sumbangan sempena Ramadan kepada keluarga Mohd Izwan (empat dari kanan) di kediaman mereka hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Dua beradik dari Taman Sinaran Kempas hilang tempat mengadu selepas ibu mereka, Normawati Khamis meninggal dunia, September tahun lalu.

Nurul Atikah Ismat, 14 dan adiknya, Nur Hisyam Aiman, 9 kini dijaga dibapa saudara mereka, Mohd Izwan, 34 dan isterinya, Nurul Marliana Zainal Sham, 27.

Mohd Izwan yang bekerja sebagai kelindan lori dengan pendapatan rendah menyara Atikah dan Hisyam serta dua lagi anaknya yang berusia 3 dan 4 tahun sementara isterinya tidak bekerja.

Atikah merupakan pelajar Tingkatan Dua di Sekolah Menengah Tan Sri Mohd Rahmat dan adiknya bersekolah di Sekolah Kebangsaan Taman Kempas.

Mengimbau kejadian tahun lalu, Mohd Izwan berkata, arwah kakaknya itu jatuh motor selepas menghantar kedua anak saudaranya itu ke sekolah.

"Arwah jatuh motor masa sampai tempat kerja lepas hantar anak ke sekolah. Akibat jatuh itu arwah diserang stok.

"Arwah memang ada kencing manis dah lama. Selepas seminggu terlantar di rumah kami hantar ke Hospital Sultanah Aminah dan sebulan lepas itu arwah meninggal dunia," katanya kepada Sinar Harian ketika program Ziarah CSR Perkeso Prihatin di sini hari ini.

Arwah sebelumnya menyara keluarga dengan bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah hospital selepas perkahwinannya gagal kira-kira sembilan tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Hari ini keluarga tersebut menerima kunjungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Johor yang ketuai Pengarahnya, Tong Shing Chuang membawa khabar gembira.

"Kedua-duanya layak menerima pencen penakat sebanyak RM686 setiap bulan sehingga berusia 21 tahun.

"Sekiranya mereka melanjutkan pengajian di peringkat ijazah pertama, pencen akan dibayar sehingga tamat pengajian," katanya.

Keluarga itu turut menerima sumbangan wang tunai dan barangan keperluan bernilai RM500 daripada kakitangan PERKESO Johor.

"Setakat ini kita sudah menyumbang kepada 47 keluarga yang memerlukan di mana dana dikumpulkan oleh kakitangan PERKESO Johor sendiri.

"Selain wang tunai, kita turut serahkan bantuan barangan keperluan seperti beras, gula, susu, tepung dan kuih raya," katanya.