96 individu dikehendaki polis Sarawak

No Image Caption
A
A
A

KUCHING - Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak kini sedang mengesan 96 individu yang dikehendaki bagi membantu siasatan polis.

Ketua JSJK Sarawak, Superintendan Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, antara kesalahan yang dilakukan oleh individu berkenaan adalah kes tipu, pecah amanah, kesalahan jenayah komputer, salah guna harta dan kes VCD/DVD lucah.

“Sejumlah 78 individu dikehendaki untuk membantu siasatan bagi kes tipu yang melibatkan Macau Scam (11 individu), African Scam (6), tipu menyamar (5), tipu cek (4), tipu dalam talian (4), tipu kebajikan (3), pelaburan (3), tipu tanah (3), pelancongan (2), tipu bomoh (1), tipu toto (1) dan lain-lain (35).

“Kes pecah amanah seramai 14 individu, Akta Jenayah Komputer dua individu dan salah guna harta dengan curang seorang sahaja. Kesemua yang dikehendaki adalah orang tempatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di sini, hari ini.

Mustafa berkata, individu yang paling dikehendaki polis adalah Mohd Azlan Mat Muda, 30, beralamat di No.6, Kampung Pandan Lundu bagi membantu siasatan kes tipu pelancongan.

“Setakat ini, seramai 62 orang telah menjadi mangsa dan 34 laporan polis telah dibuat yang melibatkan kerugian kira-kira RM130,000 dan sehingga kini suspek masih aktif menipu,” katanya.

Untuk senarai nama individu yang dikehendaki, layari laman sosial Facebook Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sarawak dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Asisten Superintendan Pricha Azin di talian 019-889 7640, Asisten Superintendan Arthur Medang di talian 013-76009771 atau Inspektor Hamizan Ismail di talian 016-445 5695. - Bernama

Artikel Berkaitan: