Pahang cuti esok, tempoh berkabung 40 hari

Salehuddin (kiri) bersama Abdul Rahman ketika mengadakan sidang media khas mengenai pengumuman kemangkatan Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Salehuddin (kiri) bersama Abdul Rahman ketika mengadakan sidang media khas mengenai pengumuman kemangkatan Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah di Wisma Sri Pahang, hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan negeri mengumumkan esok sebagai cuti umum bagi Pahang dan tempoh berkabung selama 40 hari bagi memberi penghormatan terakhir kepada kemangkatan Sultan Pahang kelima, Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr. Salehuddin Ishak berkata, tempoh berkabung itu ditetapkan bermula hari ini.

Beliau juga mengarahkan semua acara dan program berbentuk hiburan yang dijadualkan di seluruh Pahang dibatalkan selain semua bendera negeri dikibarkan separuh tiang.

"Bagi tempoh perkabungan ini membabitkan rakyat selama 40 hari, manakala bagi kerabat Diraja pula selama 100 hari.

ARTIKEL BERKAITAN: Sultan Ahmad Shah raja disenangi rakyat

"Istiadat pemakaman jenazah Almarhum dijangka akan disempurnakan selepas solat Zuhur esok di Makam Diraja Pekan," katanya dalam sidang media khas di sini, hari ini.

Turut hadir Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman dan Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan.

Beliau berkata, semua masjid dan surau di Pahang juga diminta mengadakan majlis tahlil dan doa selamat bermula malam ini.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, rakyat boleh menziarahi jenazah Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah bermula 9 malam ini.

“Rakyat dibenarkan menziarah jenazah Almarhum jam 9 malam ini di Balairung Seri Istana Abu Bakar Pekan sehingga jam 9 pagi esok.

"Bagi orang kenamaan pula boleh memberi penghormatan terakhir bermula jam 11 pagi esok, sehinggalah jenazah dibawa ke Makam Diraja bagi urusan pengebumian," katanya.

Jenazah dijangka tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kira-kira jam 5 petang ini sebelum dibawa terus ke Istana Abu Bakar, Pekan.