Sultan Ahmad Shah raja disenangi rakyat

Sultan Ahmad Shah
Sultan Ahmad Shah
A
A
A

KUANTAN - Paduka Ayahanda Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah Al Musta'in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar yang mangkat hari ini, merupakan seorang raja yang sangat disegani rakyat kerana keperibadian almarhum yang merendah diri dan sentiasa mendampingi rakyat terutama apabila berlaku sesuatu bencana.

Almarhum yang mangkat pada usia 88 tahun memegang tampuk pemerintahan negeri Pahang selama 45 tahun sebelum diambil alih oleh anakanda Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 12 Januari lalu, ekoran keadaan kesihatan baginda yang tidak mengizinkan.

Tanpa mengira protokol dan darjat sebagai sebagai seorang yang berdarah diraja, Sultan Ahmad Shah merupakan antara orang yang terawal akan 'menyinsing seluar' mencemar duli melawat daerah-daerah di Pahang setiap kali berlaku bencana terutama banjir, untuk menghulur bantuan dan berkongsi derita serta keluh kesah dengan rakyat.

Walaupun Pahang merupakan antara yang kerap dilanda banjir setiap kali musim tengkujuh, namun baginda tidak pernah jemu untuk meranduk air, berhujan dan menaiki bot bagi membantu mangsa dan pernah mengerah tukang masak istana memasak untuk mangsa banjir di pusat pemindahan.

Bagi Sultan Ahmad Shah, rakyat adalah keutamannya dan baginda yang lebih mesra membahasakan dirinya 'saya' juga sentiasa memantau pembangunan di Pahang dan tidak teragak-agak untuk menegur pihak yang terlibat jika mendapati sesuatu projek itu boleh membawa mudarat kepada rakyat. Ini terbukti apabila Almarhum menzahirkan kemurkaan dan rasa dukacita terhadap aktiviti penerokaan tanah secara haram untuk tujuan pertanian di Cameron Highlands November 2014.

Begitu juga semasa kejadian tanah runtuh di Kilometer 52.4, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) pada November 2015, walaupun dalam keadaan keuzuran, baginda tetap turun padang melihat sendiri keadaan itu dan mengarahkan penyelesaian dicari bagi mengelakkan masalah yang sama berulang.

Dalam kalangan pengamal media pula, baginda turut disayangi dan disenangi kerana sifat mesra baginda yang tidak keberatan untuk ditemubual setiap kali ditemui disatu-satu majlis.

Artikel Berkaitan:

Gambar arkib Almarhum Sultan Ahmad Shah melawat mangsa banjir.
Gambar arkib Almarhum Sultan Ahmad Shah melawat mangsa banjir.

"Raja dan Rakyat Berpisah Tiada" itulah ungkapan yang sering diucapkan menjadi pegangan baginda sehinggalah ketika baginda mula jarang kelihatan di khalayak umum kerana gering sebelum menyerahkan jawatan itu untuk dipangku oleh anakandanya, Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pada 28 Disember 2016.

Sultan Ahmad Shah telah diputerakan di Istana Mangga Tunggal di Pekan, Pahang pada 24 Oktober 1930. Baginda merupakan anakanda ketiga dan putera tunggal kepada Almarhum Sultan Abu Bakar dengan Almarhum Raja Ampuan Fatimah Sultan Iskandar Shah.

Almarhum menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu di Pekan dan melanjutkan pelajaran menengah di Kolej Melayu Kuala Kangsar.

Walaupun pembelajaran baginda terganggu ekoran Perang Dunia II, namun baginda mengambil kesempatan itu untuk turut mempelajari bahasa Jepun ketika pendudukan tentera Jepun di Tanah Melayu.

Apabila perang Dunia ke II berakhir, baginda meneruskan pembelajaran baginda di Sekolah Clifford Kuala Lipis dan tinggal bersama orang kebanyakan di asrama sekolah.

Pada 1944, ketika berusia 14 tahun, Sultan Haji Ahmad Shah dilantik menjadi Tengku Mahkota Pahang apabila peperangan tamat.

Pada 1948, Sultan Haji Ahmad Shah meneruskan pelajaran ke peringkat yang lebih tingi dalam bidang Pentadbiran Awam di Worcester College, Universiti Oxford dan Universiti Exeter, Devon United Kingdom dalam bidang pentadbiran tempatan. Tuanku juga berkesempatan menjalani latihan amali di Sidmouth Urban District Council selama tiga tahun.

Sultan Ahmad Shah mengahwini Tengku Hajah Afzan Tengku Muhammad pada 22 April 1954 dan dikurniakan tujuh orang anak, dua orang putera dan lima orang puteri.

Putera dan puteri baginda ialah Tengku Tan Sri Meriam, Tengku Datuk Seri Muhaini, Tengku Datuk Seri Aishah Marcella,Tengku Abdullah, Tengku Abdul Rahman, Tengku Datuk Nong Fatimah, dan Tengku Datuk Shahariah.

Selepas kemangkatan Tengku Afzan pada 29 Jun 1988, Sultan Haji Ahmad Shah mengahwini Sultanah Hajah Kalsom pada 14 Mac 1991 dan dikurniakan seorang putera. Tengku Fahd Mu'adzam Shah Sultan Ahmad Shah.

Baginda dilantik menjadi Tengku Mahkota Pahang pada usia 14 tahun dan ketika berusia 35 tahun, baginda pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Batalion Infantri Tentera Persekutuan yang berpengkalan di Kem Batu 5, Mentakab Pahang.

Sultan Ahmad Shah dilantik menjadi Sultan Pahang ke-5 pada 7 Mei 1974 berikutan kemangkatan ayahanda baginda Almarhum Sultan Abu Bakar dan istadat pertabalan berlangsung di Balairong Seri, Istana Abu Bakar pekan setahun kemudian iaitu pada 8 Mei 1975.

Baginda kemudian dilantik menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong Ke-6 dan telah melaksanakan tugas sebagai ketua negara apabila dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-7 yang memerintah negara 26 April 1979 hingga 25 April 1984.

Lain-lain jawatan yang pernah disandang baginda termasuk Ketua Perlembagaan, Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) 1 Julai 1983, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dari tahun 1984 sehingga 2014. Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 1994 sehingga 2002. serta dipilih menjadi Presiden Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) pada 2011. - Bernama