Lima cadangan DAPSY kepada Dr Maszlee

Maszlee Malik
A
A

DALAM masyarakat kita, isu yang memerlukan penyelesaian cukup mudah dipintas menjadi isu kaum dan perkauman.

Kita mudah terperangkap dalam stereotaip kaum yang akhirnya membawa kerugian kepada semua kaum tanpa apa-apa penyelesaian.

Saya menganggap kenyataan yang dibuat oleh Menteri Pendidikan, saudara YB Dr. Maszlee Malik tempoh hari yang menyamakan isu kuota kaum matrikulasi dengan keperluan sesetengah syarikat swasta untuk staf mereka yang boleh berbahasa Mandarin adalah pendirian peribadi beliau. Ia bukan pendirian Kabinet. Ia bukan pandangan Kerajaan Persekutuan.

Sepatutnya YB Dr Maszlee tidak perlu tunduk dengan retorik kaum yang dengan mudahnya telah dijadikan senjata oleh kumpulan-kumpulan ketuanan kaum.

Sebagai menteri, beliau tidak sepatutnya menggunakan bahasa seperti seorang jagoan politik. Beliau jauh lebih baik, berpendidikan tinggi dan tentunya seorang ilmuan yang bijak.

Semoga Dr Maszlee dapat menarik balik kenyataannya yang kini dijadikan senjata perkauman oleh golongan tertentu, dan kembali berpegang dengan pendirian Kerajaan Pakatan Harapan yang bersemangat muhibah dan bertekad membantu semua kaum, khususnya golongan majoriti B40.

Jika YB Dr Maszlee lupa, izinkan saya mengingatkan beliau semula tentang pandangan DAPSY yang telahpun dikemukakan secara langsung kepadanya, sebagai tindakan pemulihan sementara bagi menangani isu matrikulasi.

Lima cadangan DAPSY kepada YB Dr Maszlee adalah:

1. Memohon Kementerian Pendidikan supaya menyelesaikan ketidaksamarataan yang besar dalam status quo di bawah sistem penapisan untuk Peperiksaan Matrikulasi, bagi memastikan peluang yang lebih adil untuk pelajar-pelajar STPM dan matrikulasi.

2. Untuk menyelidik dan mengkaji semula sistem pengredan kokurikulum. Aktiviti kokurikulum bawah matrikulasi seharusnya mempungai nilai merit yang sama seperti STPM.

3. Mempertimbangkan penyerapan tempat sebanyak 15,000 di Asasi-Asasi IPTA sedia ada sebagai sebahagian daripada program Matrikulasi. Tidak ada sebarang implikasi kos, isu staf akademik dan kemudahan prasarana.

4. Mempertimbangkan kemasukan markah CGPA secara automatik bagi pelajar-pelajar STPM. Atau membuka 2,000 peluang kemasukan tambahan bagi 2,000 pelajar teratas mengikut markah CGPA tanpa kira kaum.

5. Menggabungkan peperiksaan, sebuah silibus dan sistem pengredan di antara STPM dan Matrikulasi diwujudkan menjelang 2020.

Kelima-lima cadangan ini, termasuk ulasan, penjelasan dan contoh-contohnya yang telah diserahkan kepada Dr Maszlee, adalah pendirian rasmi DAPSY.

Apa-apa kenyataan lain, sama ada oleh individu atau sekumpulan wakil DAPSY, tidak boleh dianggap sebagai kenyataan rasmi, melainkan ia merupakan pandangan peribadi sahaja.

YB Dr Maszlee dan pasukannya di Kementerian Pendidikan sudahpun mengambil maklum saranan DAPSY ini, dan telahpun menyatakan kesediaan beliau untuk bersama-sama mencari penyelesaian terbaik dalam isu ini.

Saya sendiri beranggapan bahawa perbahasan mengenai laluan ke universiti melalui STPM dan Matrikulasi ini acapkali tersasar dari akar permasalahan sebenar.

Rata-rata daripada kita termasuklah pihak media dan sesetengah sarjana terlalu taksub dengan persoalan “siapa yang dapat masuk universiti melalui laluan mana”.

Sudah tentu, apa pun laluan tersebut haruslah adil untuk semua rakyat dengan mengutamakan golongan B40 yang mempunyai latarbelakang sosioekonomi yang terkebelakang berbanding golongan M40 dan T20.

Golongan M40 dan T20 juga daripada pelbagai kaum, termasuk Melayu, tetapi mereka adalah golongan yang berkemampuan dan tidak memerlukan bantuan kerajaan.

Hakikatnya, soal memperkasakan B40 ini merentasi soal kaum, dan kerana orang Melayu merupakan penduduk majoriti, ia akan tetap memberi peluang kepada anak-anak Melayu yang layak.

Sehubungan dengan itu, saya akan mencadangkan penubuhan satu Jawatankuasa Perundingan Hal-ehwal Pengajian Tinggi di peringkat sayap Pemuda Harapan kebangsaan untuk kita sama-sama mengusahakan satu penyelesaian demi belia, negara dan bangsa Malaysia.

Saya yakin perkara ini akan dibincangkan secara mendalam dalam Kabinet negara, dan Ketua Pemuda Harapan Nasional selaku ahli Kabinet akan menyampaikan suara anak muda dari segenap masyarakat Malaysia.

HOWARD LEE

Ketua DAPSY Kebangsaan

22 Mei 2019