Bubur Lambuk Sri Sintok jadi bualan

Ahli KESKA UUM bergotong royong memasak bubur lambuk untuk diagihkan kepada orang ramai. - FOTO UUM
Ahli KESKA UUM bergotong royong memasak bubur lambuk untuk diagihkan kepada orang ramai. - FOTO UUM
A
A
A

SINTOK - Bubur Lambuk Sri Sintok dinanti-nantikan setiap kali Ramadan khususnya warga Universiti Utara Malaysia (UUM) kerana aromanya semerbak harum.

Tukang masak, Kassim Din yang berpengalaman lebih lima tahun memasak bubur lambuk ini berkata, resipi yang diperoleh daripada seorang pesara UUM ini diubah suai mengikut selera masa kini.

Menurutnya, warnanya yang putih jernih, bertekstur lembut dan diadun bersama rempah ratus pasti membuka selera malah menjadi bualan ramai.

“Bubur istimewa ini menggunakan pelbagai bahan antaranya daging segar, tulang, udang, santan dan minyak sapi yang menaikkan aroma, proses memasak juga mengambil masa agak lama,” katanya.

Kassim berkata, dia sebelum ini melakukan aktiviti itu ketika bertugas di Jabatan Keselamatan UUM sebelum bersara pada 2007.

Kassim mengetuai acara memasak Bubur Lambuk Sri Sintok, menggunakan resipi tradisi istimewa. - FOTO UUM
Kassim mengetuai acara memasak Bubur Lambuk Sri Sintok, menggunakan resipi tradisi istimewa. - FOTO UUM

“Ketika itu, saya hanya tolong masak bubur lambuk sekadar suka-suka, lama kelamaan saya belajar resipi bubur lambuk itu sehingga diundang masyarakat setempat untuk masak di tempat mereka,” katanya.

Menurutnya, tidak hairanlah bubur lambuk yang dinikmati warga kampus sejak lebih dua dekad itu tetap ‘laris’ kerana masih mengekalkan keaslian rasa seperti dahulu.

Artikel Berkaitan:

Program gotong-royong penyediaan bubur lambuk ini dianjurkan Kesatuan Kakitangan UUM (KESKA) untuk diedarkan kepada orang ramai sebagai juadah berbuka puasa.

Presidennya, Affendi Askandar berkata, program ini antara sumbangan kesatuan kepada warga universiti bagi memeriahkan Ramadan.

“Aktiviti memasak bermula seawal 9.00 pagi, sebanyak lapan periuk dari KESKA termasuk satu periuk masing-masing dari Pusat Islam dan Pusat Rawatan Darussyifa’ yang mengambil bahagian.

Semua ahli KESKA bersama-sama menyediakan bahan masakan, memasak, membungkus dan membersih,” katanya.

Menurutnya, program ini bertujuan mengeratkan hubungan sesama ahli selain mengimarahkan Ramadan.

Sementara itu, Pembantu Akauntan, Sharulanisah Omar berkata, bubur lambuk yang dihasilkan Pusat Islam sememangnya dinantikan kerana rasa dan kelazatannya sukar ditandingi.

“Bubur lambuk ini memang sedap, lain dari yang lain. Inilah pembuka selera kami sekeluarga. Peluang memasak beramai-ramai juga tidak dilepaskan sambil mempelajari resipi tradisi bubur lambuk UUM yang power,” katanya.