APMM buat pemeriksaan mengejut

Beberapa kru feri melakukan latihan memadam kebakaran di Terminal Penumpang Kuala Kedah, hari ini.
Beberapa kru feri melakukan latihan memadam kebakaran di Terminal Penumpang Kuala Kedah, hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Kedah melakukan pemeriksaan mengejut demi memastikan pengusaha-pengusaha feri penumpang mematuhi segala prosedur undang-undang dan tahap keselamatan penumpang, hari ini.

Timbalan Pengarah Zon (Operasi) Maritim Kuala Kedah, Leftenan Maritim Hairil Izhar Noraazmi berkata, operasi mengejut bersama Jabatan Laut Malaysia (Pejabat Laut Kuala Kedah) dilaksana berikutan beberapa aduan dan kejadian pernah berlaku sebelum ini.

Beliau berkata, operasi lebih lima jam bermula jam 10 pagi itu melibatkan pemeriksaan ke atas tujuh feri yang bergerak keluar dari Terminal Jeti Penumpang Kuala Kedah dan feri dari Pulau Langkawi.

"Melalui Op Feri, kita ingin memastikan pengusaha feri mengambil kira dan tidak mengabaikan tahap keselamatan penumpang dan mematuhi undang-undang di laut.

"Kita mendapati semua feri mematuhi arahan dikeluarkan Jabatan Laut melalui pemeriksaan dijalankan dalam Op Feri itu," katanya.

Katanya, beberapa ketidakpatuhan kepada aspek keselamatan dikesan dan amaran keras telah dikeluarkan terhadap pengusaha-pengusaha feri sepanjang operasi ini.

Anggota APMM Zon Maritim Kuala Kedah memeriksa jaket keselamatan dalam feri melalui Op Feri, hari ini.
Anggota APMM Zon Maritim Kuala Kedah memeriksa jaket keselamatan dalam feri melalui Op Feri, hari ini.

Sehubungan itu, menurut beliau, satu feri telah diberi amaran untuk memperbaharui sijil kompetensi feri dan kapten feri yang didapati hampir tamat tempoh.

Artikel Berkaitan:

Kata Hairil, sijil kompetensi feri dan kapten feri berkenaan perlu diperbaharui demi membolehkan feri tersebut beroperasi seperti biasa.

Terdahulu, beliau bersama 27 anggota dan pegawai APMM dan Jabatan Laut Malaysia melakukan pemeriksaan mengejut dalam feri seperti pemeriksaan dokumen, kotak rawatan cemas dan jaket keselamatan menggunakan dua aset APMM.

Hairil berkata, pihaknya akan terus melaksanakan pemantauan dan pemeriksaan bagi memastikan tiada sebarang pelanggaran undang-undang demi menjamin kelancaran dan keselamatan terutamanya penumpang feri.

ARTIKEL BERKAITAN: Feri bawa penumpang di Langkawi tiba-tiba terbakar

Pada 25 Februari lalu, 52 penumpang feri Dragon Star 1 melalui detik cemas selepas feri itu terbakar ketika dalam perjalanan dari Terminal Feri Kuah, Langkawi menuju ke Kuala Perlis.

Orang awam boleh menyalurkan sebarang aktiviti jenayah ataupun kecemasan di laut melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.