Kes saman mungkin selesai luar mahkamah

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kes saman fitnah pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohammed Hanif Omar, mungkin akan diselesaikan di luar mahkamah.

Peguam Rayveni Asogan, yang mewakili Kit Siang berkata, kedua-dua pihak akan berbincang untuk menyelesaikan kes di luar mahkamah ketika ditemui selepas pengurusan kes itu dalam kamar Hakim Datuk Azimah Omar.

Sehubungan itu beliau memaklumkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 24 Jun ini bagi pengurusan selanjutnya kes saman tersebut.

"Pada tarikh itu, kedua-dua pihak akan memaklumkan kepada mahkamah sama ada untuk menyelesaikan kes saman itu atau tidak yang kesemuanya terpulang pada terma dan syarat.

"Sekiranya tiada sebarang penyelesaian dicapai, mahkamah akan menetapkan tarikh perbicaraan seterusnya," katanya.

Turut hadir pada prosiding itu, peguam yang mewakili Mohammed Hanif selaku defendan K Janani.

Pada 17 Oktober lalu, Kit Siang sebagai plaintif memfailkan saman terhadap Mohammed Hanif.

Beliau mendakwa defendan hadir sebagai ahli panel di Konvensyen Karamah Bangsa di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 6 September lalu.

Artikel Berkaitan:

Beliau mendakwa defendan secara salah atau berniat jahat mengeluarkan perkataan fitnah terhadapnya dan ia ada diterbitkan di media massa.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu mendakwa perkataan fitnah itu adalah sebahagian daripada transkrip ucapan defendan di konvensyen itu yang diterbitkan dan disiarkan akhbar Sinar Harian serta portal berita, Malaysiakini dan Free Malaysia Today.

Kit Siang mendakwa perkataan fitnah itu antara lain membawa maksud bahawa beliau tidak beretika dan berniat untuk memecahbelahkan kaum Melayu dan Cina.

Beliau juga mendakwa perkataan fitnah itu membawa maksud bahawa plaintif bertanggungjawab dan berniat mengarahkan DAP memisahkan dan atau membahagikan Semenanjung Malaysia kepada dua bahagian berdasarkan kaum.

Plaintif mendakwa perkataan fitnah itu tidak benar, palsu serta berniat jahat dan menyebabkan imej dan reputasinya tercemar.

Oleh itu, beliau menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan serta permohonan maaf selain menuntut penarikan balik perkataan fitnah serta injunksi bagi menghalang defendan mengulangi penerbitan perkataan fitnah itu.