Lebih 400 murid tercicir di Perak kembali ke sekolah

Dr Abdul Aziz - Foto Bernama
Dr Abdul Aziz - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lebih 400 murid yang tercicir dari alam persekolahan di Perak kini dapat kembali ke sekolah hasil gerak kerja yang dijalankan oleh Jawatankuasa Khas bagi menangani masalah keciciran pelajar yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri lengkap.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar Perak, Dr Abdul Aziz Bari berkata jawatankuasa yang ditubuhkan empat bulan lepas itu menjalinkan kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan di peringkat negeri antaranya Jabatan Pendidikan, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Agama Islam Perak dalam usaha menangani perkara itu secara komprehensif.

“Jawatankuasa ini memastikan tindakan segera diambil bagi memastikan anak ini dapat ke sekolah dan tidak berkeliaran sehingga membawa masalah kepada masyarakat.

“Saya berbangga dengan kejayaan jawatankuasa itu setakat ini dan harap jawatankuasa ini dapat mengemukakan dapatan berkesan agar masalah ini dapat diselesaikan secara keseluruhan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Abdul Aziz ditemui sebelum menghadiri rakaman program UPSOUND terbitan Bernama News Channel bagi membincangkan isu bertajuk 'Barah Politik Perkauman dan Masa Depan Negara' yang akan bersiaran pukul 8.30 malam, Rabu ini.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata, usaha itu tidak terhenti di situ sahaja, malah akan diperluas bagi menangani masalah sama bagi pelajar di peringkat pengajian tinggi.

“Pendidikan adalah hak asasi setiap individu, dan bagi mencapai kejayaan lebih membanggakan, jawatankuasa ini perlukan usaha yang lebih. Hasil pertemuan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dan barisan exco pendidikan seluruh negara baru-baru ini, Maszlee berjanji akan memastikan usaha ini tidak akan tergendala,” katanya.

Justeru, Abdul Aziz yang juga ADUN Tebing Tinggi berharap kejayaan jawatankuasa dalam menyelesaikan masalah berkaitan pendidikan itu dapat menjadi panduan kepada negeri lain di seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, masalah itu perlu diberi perhatian oleh semua pihak demi masa hadapan pelajar terbabit dalam pelajaran. -Bernama