‘Habuk terbang merata-rata’

No Image Caption
A
A
A

MUAR - Kira-kira 100 buah rumah di sekitar Sungai Terap, di sini berdepan masalah pencemaran habuk kayu yang diusahakan sebuah syarikat pengumpulan kitar semula.

ADUN Bukit Pasir, Kapten (B) Najib Lep berkata, masalah sejak hampir sebulan itu berlaku berikutan kegiatan pemotongan kayu terpakai secara terbuka di lokasi itu.

Katanya, alatan dan mesin pemotong kayu disediakan tidak dilitupi dengan binaan sempurna di sekelilingnya.

“Keadaan itu menyebabkan habuk terbang merata-rata kerana kayu terpakai yang dikumpulkan akan dipotong secara kecil untuk dijual.

“Memang tak salah tindakan mereka mengitar semula kayu terbuang, namun yang memberi masalah adalah kegagalan menyediakan tempat sesuai untuk proses pemotongan kayu,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Najib, penduduk berhampiran meluahkan kebimbangan kerana mendakwa pencemaran habuk kayu telah menjejaskan kawasan sekitar.

“Saya menerima aduan daripada penduduk dan telah pergi ke lokasi kejadian bagi melihat masalah yang berlaku.

“Hasil tinjauan mendapati tapak kitar semula yang telah beroperasi hampir dua tahun ini baru sahaja menjalankan aktiviti pemotongan kayu sejak kira-kira tiga minggu lalu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Najib berkata, penduduk turut mengemukakan petisyen sebagai bantahan terhadap aktiviti dijalankan ini.

“Seramai 90 keluarga menandatangani petisyen ini dan menyerahkan kepada saya. Difahamkan, syarikat ini dahulu tidak menjalankan proses pemotongan kayu kecuali pengasingan sisa pepejal untuk dikitar semula semata-mata.

“Namun, sejak akhir-akhir ini baru berlaku kegiatan berkenaan. Kebetulan ketika saya datang pengurus tiada di situ. Bagaimanapun masalah ini telah saya panjangkan kepada pihak Majlis Perbandaran Muar (MPM) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Kata Najib, pihak MPM telah menjalankan pemeriksaan dan memberikan amaran kepada syarikat terbabit untuk mematuhi arahan permit yang telah diberikan.

“Saya akan buat lawatan susulan dalam masa terdekat untuk melihat tahap pematuhan pihak terbabit.

“Pencemaran habuk kayu ini memang tidak memberi masalah dalam masa singkat, namun ia menjadi ancaman terutama daripada segi kesihatan sekiranya dibiarkan berlarutan,” katanya.

MPM telah menjalankan pemeriksaan dan memberikan amaran kepada syarikat terbabit untuk mematuhi arahan permit yang telah diberikan.