Projek Hard Rock Cafe, hotel di PD diteruskan

A
A

PORT DICKSON - Projek pembinaan Hard Rock Cafe (HRC) dan Hard Rock Hotel dijangka akan diteruskan selewatnya pada tahun ini di Batu 7, Teluk Kemang di sini.

Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, projek tersebut melalui proses dan perlu memenuhi syarat yang sama dengan projek hotel lain demi memastikan kesejahteraan penduduk tempatan dipelihara.

"Hasil perbincangan yang dilakukan mereka bersetuju untuk memenuhi setiap syarat ditetapkan, malah tidak menuntut syarat baru sebaliknya berjanji akan membantu meningkatkan ekonomi penduduk setempat.

"Antara syarat yang kita tetapkan menjaga kebersihan pantai, memelihara alam sekitar, menggunakan pekerja tempatan, kebajikan dan kediaman pekerja, latihan perhotelan," katanya selepas Ziarah Mahabbah Ramadan di Hospital Port Dickson di sini hari ini.

Menurutnya yang juga Presiden PKR, permohonan projek tersebut ditelitinya sendiri dan berpuas hati dengan setiap syarat yang ditetapkan.

"Penduduk setempat sebelum ini diberi gambaran tidak tepat mengenai projek pembinaan ini. Nama sahaja Hard Rock Cafe dan hotel tetapi mereka juga seperti hotel biasa.

"Tiada penjualan arak secara melimpah, mereka tetap perlu ikut peraturan. Saya sudah bincang dengan kerajaan negeri, projek ini tiada masalah kerana saya sendiri yang meneliti permohonan mereka," katanya.

Sementara itu, Anwar berkata, pihaknya berpuas hati dengan tindakan awal dilakukan kerajaan negeri termasuk Pejabat Daerah dan pihak berkuasa tempatan dalam menangani masalah bangunan terbengkalai.

"Masalah ini sudah dibawa ke mesyuarat negeri sejak lima ke enam bulan yang lalu dan menjadi keutamaan untuk diselesaikan," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia