Status Bazar Jalan Raja ditentukan selepas Mei

Khalid (dua dari kiri) bersama ADUN Batu Tiga, Rodziah Ismail ketika program Jom Shopping di Giant Kemuning Utama
Khalid (dua dari kiri) bersama ADUN Batu Tiga, Rodziah Ismail ketika program Jom Shopping di Giant Kemuning Utama
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Wilayah akan menunggu sehingga akhir bulan ini sebelum membuat sebarang keputusan berhubung status peniaga bazar di Jalan Raja selepas ini.

Menterinya, Khalid Abdul Samad berkata, langkah itu adalah bagi membolehkan pihaknya membuat penilaian terlebih dahulu untuk melihat sejauh mana keberkesanan pelaksanaan program pemindahan tersebut.

Beliau berkata, program pemindahan peniaga di bazar Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) ke Jalan Raja merupakan satu usaha baik dilakukan oeh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) demi kebaikan semua pihak.

"Kita akan tunggu hingga hujung bulan ini barulah keputusan dibuat sama ada ia mencapai apa yang kita inginkan.

"Kalau berjaya, kita akan teruskan penganjuran di sana," katanya kepada media selepas program Jom Shopping yang berlangsung di Giant Kemuning Utama hari ini.

Bermula tahun ini, peniaga di tapak Bazar Jalan TAR dipindahkan ke Jalan Raja iaitu berhadapan Bangunan Sultan Abdul Samad di ibu negara.

Bagaimanapun, beberapa isu timbul selepas pemindahan tersebut sehingga menimbulkan kegusaran peniaga tempatan di bazar terlibat.

Terbaru, beberapa lot tapak niaga di Bazar Ramadan Jalan Raja menghadapi masalah air bertakung sehingga menjejaskan aktiviti perniagaan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai perkara itu, Khalid yang juga merupakan Ahli Parlimen Shah Alam memaklumkan DBKL telah mengambil tindakan untuk membersihkan sistem saliran tersumbat yang menyebabkan berlakunya insiden itu.

"Malah sejak semalam, isu ruang jualan panas turut diselesaikan apabila DBKL meletakkan penghawa dingin di sana," katanya.

Tambah Khalid, beliau menjangkakan jumlah pengunjung akan semakin bertambah pada dua minggu terakhir menjelang perayaan Aidilfitri nanti.

"Sejak semalam pun memang ramai sangat orang mengunjungi bazar tersebut dan selepas dapat gaji atau bonus nanti, mungkin lebih ramai akan turun semula," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Bazar Ramadan Jalan Raja 'banjir' pula