Akhirnya Nur Balqis Farisya peroleh kaki untuk berjalan

Foto frontdesk
Foto frontdesk
A
A
A

GEORGETOWN - Tiada hari yang lebih bersejarah buat Nur Balqis Farisya Abdullah, yang berusia lima tahun, apabila berkesempatan untuk berjalan buat pertama kali setelah menerima kaki prostetik percuma hasil sumbangan daripada sebuah yayasan dari Thailand, 'The Prostheses Foundation'.

Nur Balqis yang dilahirkan dengan kecatatan kaki dan tangan hari ini ditemani neneknya, Cik Basah Hassan, 57, untuk menerima bantuan setelah empat bulan tempoh menunggu. Beliau adalah penerima bantuan termuda pada tahun ini.

"Kami mengetahui wujudnya Yayasan Pertubuhan Pendidikan Akhlak Chee Hoon Khor yang menghubungkan bantuan dari Thailand daripada kenalan. Saya bersyukur sangat, rezeki pada bulan Ramadan ini, cucu saya berjaya dapat bantuan.

"Memang selama ini Nur Balqis perlu dipapah atau didukung untuk bergerak ke mana-mana kerana kami tidak mampu untuk membayar harga kaki palsu yang boleh mencecah RM5,000. Kepada semua pihak yang terlibat seperti para doktor dan sukarelawan dari Thailand dan Malaysia, terima kasih banyak-banyak... Semua ini tidak ternilai," kata Cik Basah kepada Bernama pada majlis sumbangan itu hari ini.

Menurut Cik Basah, sebarang kerja-kerja ubah suai dan pelarasan kaki prostetik pada masa akan datang akan ditanggung sepenuhnya oleh 'The Prostheses Foundation' dengan kerjasama Yayasan Pertubuhan Pendidikan Akhlak Chee Hoon Khor.

Katanya, kesemua penerima bantuan ini berkesempatan untuk menggantikan kaki prostetik yang diterima setiap tiga tahun secara percuma.

Cik Basah turut menzahirkan perasaan terharu kerana beliau dapat melihat pelbagai pihak yang berlatar belakangkan bangsa dan agama yang berbeza bersungguh-sungguh untuk saling membantu dan menjayakan program ini.

"Saya suka tengok dan sangat-sangat terharu sebab pihak yang memberi dan menerima bantuan adalah berlainan agama, kaum, malah berlainan warganegara. Masih ramai orang baik di dalam dunia ini, itu perkara yang perlu orang ramai fokuskan pada masa sekarang," katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Tambah Cik Basah lagi, dengan pemberian kaki itu kepada cucunya menambah lagi seri Aidilfitri yang bakal disambut umat Islam tidak lama lagi apatah lagi buat pertama kalinya cucunya itu boleh berjalan menyambut hari raya.

Sementara itu, Muhammad Faiz Fakhrullah Suhaimi, 26, yang telah hilang kedua-dua kakinya akibat kemalangan di tempat kerja seawal usia 17 tahun turut melahirkan kesyukuran dengan bantuan yang diterimanya.

“Tanpa bantuan ini, mungkin lebih sukar untuk saya bergerak kerana kaki prostetik harganya mahal. Tetapi saya ingin berpesan kepada sesiapa yang senasib dengan saya supaya sentiasa cekalkan hati dan pedulikan kata-kata orang.

"Buat yang terbaik dan usaha memperbaiki diri dan ekonomi untuk diri sendiri dan keluarga... Amat penting untuk kita mengetahui badan-badan yang menawarkan bantuan seperti ini untuk memudahkan urusan kita di samping berusaha untuk melakukan yang terbaik. Tanpa usaha, tiada apa yang boleh dicapai,” katanya.

Muhammad Faiz ditimpa kemalangan pada hari ketiga berpuasa pada tahun 2011 ketika beliau baru sahaja bertugas selama tujuh hari. Suhaimi kini sebagai pemandu Grab. - Bernama