Larangan politik di masjid: Ketegasan Sultan Johor relevan

Mohamed Khaled (kanan) ketika menyampaikan sumbangan kepada penerima dalam Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Sumbangan Bukti Megah Sdn Bhd di Restoran Banafee Seri Alam.
Mohamed Khaled (kanan) ketika menyampaikan sumbangan kepada penerima dalam Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Sumbangan Bukti Megah Sdn Bhd di Restoran Banafee Seri Alam.
A
A
A

PASIR GUDANG - Ketegasan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengenai larangan penyebaran dakyah politik dalam masjid di negeri ini adalah relevan bagi memastikan institusi itu tidak dicemari kepentingan pihak tertentu.

Bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, usaha itu juga dilihat adalah jalan terbaik bagi menghalang lahirnya benih-benih perpecahan sekali gus memastikan keharmonian umat Islam di negeri ini sentiasa terpelihara.

"Larangan berceramah politik dalam masjid sudah menjadi peraturan di Johor sejak sekian lama dan perlu dihormati.

"Tujuannya adalah untuk mengelakkan perpecahan antara umat Islam yang mempunyai fahaman politik berbeza, kita juga tidak mahu jadikan masjid sebagai pentas politik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Sumbangan Bukti Megah Sdn Bhd di Restoran Banafee Seri Alam di sini semalam.

Hadir sama, Pengerusi Umno Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad; Pesuruhjaya Pas negeri, Abdullah Husin dan Pengerusi Eksekutif Bina Megah Sdn Bhd, Datuk Abdul Halim Suleiman.

Menurutnya, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) disarankan bertegas dalam menguatkuasakan undang-undang dan peraturan melarang mana-mana pihak berceramah politik dalam masjid.

"Peraturan ini juga wajar dilihat kembali untuk memastikan semua pihak tidak melanggar syarat dan ketetapan sedia ada termasuk bagi mengelak perkara sama berulang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohamed Khaled yang juga Naib Presiden UMNO berkata, pihak pengurusan masjid perlu tahu dan tidak harus bertolak ansur dalam perkara tersebut kerana melibatkan sensitiviti dan agama Islam.

"Di Johor kita ada adab dan peraturan. Kita juga kena tengok di tempat lain (larangan yang sama). Kalau ada wakil rakyat nak buat majlis serah sumbangan tidak perlu dalam masjid.

"Lagilah kalau tidak libatkan sumbangan, buat apa buat majlis dalam masjid, takkan nak ceramah politik pula. Kalau mahu bagi sumbangan buatlah di luar masjid atau tempat lain dan bukan dalam masjid," katanya.

Pada 10 Mei lalu, Ahli Parlimen Labis, Pang Hok Liong menyampaikan sumbangan dalam Masjid Tenang Stesyen, Labis, namun pihak tertentu mendakwa beliau berceramah politik.

Pada 16 Mei lalu Sultan Johor pula bertitah dan melahirkan kekecewaan terhadap perbuatan Hok Liong itu yang disifatkan Baginda sebagai biadab dan tidak beretika.