JPVS pastikan susu segar import ke Sarawak bebas FMD

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUCHING - Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) akan mengambil tindakan pencegahan bagi memastikan pengimportan susu segar ke negeri itu bebas daripada jangkitan penyakit kuku dan mulut (FMD).

Jabatan itu berkata pihaknya komited sepenuhnya untuk mengekalkan status negeri itu sebagai wilayah bebas FMD yang diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia.

“JPVS akan terus mengukuhkan aktiviti penguatkuasaan bagi memastikan produk berasaskan tenusu dan susu yang diimport ke negeri itu memenuhi syarat permit import,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jabatan itu mengulas gesaan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen, semalam, supaya JPVS melarang pengimportan susu segar ke negeri itu memandangkan jangkitan FMD.

JPVS berkata penyakit FMD adalah penyakit virus disebabkan Apthovirus yang boleh menyebabkan kerugian ekonomi kepada penternak dan virus itu boleh menjangkiti lembu, kerbau, kambing, bebiri, babi, rusa dan lain-lain haiwan berkuku dua.

“Penyakit FMD tidak menjejaskan manusia kerana ia berbeza dengan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) yang disebabkan oleh virus Coxsackie,” menurut kenyataan jabatan itu.

JPVS berkata pengimportan susu segar ke Sarawak diselia mengikut permit import yang dikeluarkan oleh jabatan itu di bawah syarat ketat peraturan pengimportan veterinar.

Menurutnya, dokumen yang diperlukan untuk pengimportan produk tenusu atau susu ialah sijil Kebebasan Negara atau Negeri daripada jangkitan penyakit itu dalam tempoh 12 bulan sebelum dan hingga tarikh eksport.

Artikel Berkaitan:

“Sijil Kesihatan Veterinar membuktikan bahawa susu dan produk berasaskan tenusu bebas daripada tuberkulosis. Semua langkah pencegahan yang perlu diambil selepas pemprosesan untuk mengelak sentuhan produk dengan sebarang sumber virus FMD,” katanya.

Sekatan susu segar import ke negeri itu oleh JPVS tidak melibatkan susu UHT (Ultra High Temperature), yogurt, tepung susu, keju, mentega, krim, ais krim yang mengandungi susu dan susu pekat.

Pada Februari lalu, JPVS mengeluarkan pekeliling penggantungan produk susu segar ke negeri itu termasuk dari Semenanjung Malaysia bagi mengelak produk berkenaan diimport dari negara yang ada FMD.- Bernama