Polis Kontinjen Melaka tumpaskan sindiket judi online

Asisten Komisioner Beh Eng Lai (tengah) menunjukkan sebahagian barangan yang dirampas.
Asisten Komisioner Beh Eng Lai (tengah) menunjukkan sebahagian barangan yang dirampas.
A
A
A

MELAKA - Satu sindiket penipuan judi dalam talian didalangi warga China yang beroperasi di negeri ini tumpas selepas sepasukan Polis Kontinjen Melaka melakukan serbuan di sebuah hotel pada 11 Mei lalu.

Dalam serbuan kira-kira jam 3 pagi itu, seramai 46 orang warga China terdiri daripada 44 lelaki dan dua wanita serta seorang lelaki tempatan telah ditahan.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti negeri, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, kesemua mereka yang berusia antara 21 hingga 48 tahun didapati telah menyewa sebanyak 23 buah di hotel berkenaan dengan bayaran bulanan berjumlah RM70,200.

Menurutnya, sindiket itu disyaki telah menjalankan kegiatan penipuan melibatkan judi dalam talian dengan menjadikan sebuah hotel di negeri ini sebagai 'calling centre' sejak 1 April lalu.

Antara barang yang dirampas.
Antara barang yang dirampas.

Katanya, siasatan juga mendapati sindiket berkenaan menjadikan warga China sebagai mangsa mereka dan pembayaran juga dibuat menggunakan bank di China.

"Modus operandi yang digunakan sindiket berkenaan dengan menawarkan perkhidmatan judi dalam talian melalui sebuah aplikasi dinamakan 'Hua Finance' dan kesemua yang ditahan adalah pekerja berperanan untuk mencari pelanggan melalui aplikasi WeChat.

"Suspek pada mulanya akan mencari kenalan menerusi WeChat dan selepas kepercayaan dari kenalan baru diperolehi suspek akan mengajak mangsa untuk menggunakan perkhidmatan judi dalam talian menerusi aplikasi Hua Finance tadi," katanya kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, hari ini.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, siasatan ke atas warga China yang ditahan juga mendapati kesemua mereka telah ditawarkan pekerjaan oleh sindiket penipuan ini dengan tawaran gaji bulanan berjumlah RM6,000.

Suspek-suspek yang ditahan.
Suspek-suspek yang ditahan.

"Kesemua mereka telah masuk ke negara ini lebih kurang April lalu sebagai pelancong manakala tangkapan ke atas seorang lelaki tempatan dipercayai berperanan sebagai pembantu dengan menyediakan makanan, ubat-ubatan dan keperluan lain yang diperlukan pekerja," katanya.

Hasil serbuan itu, polis telah merampas 36 komputer riba pelbagai jenama, 101 telefon bimbit pelbagai jenama, dua buah kereta jenis Honda City, 26 papan kekunci pelbagai jenama, 44 tetikus pelbagai jenama, 41 adaptor, 15 modem, 12 meja lipat, 26 kerusi, 14 penyambung plag, sebuah router wifi, sebuah pemancar, dua buah antenna, wang tunai berjumlah RM19,969, dua keping wang Amerika Syarikat berjumlah 5 dollar, 15 kad ATM pelbagai bank, 50 pasport Republik Rakyat China, pendrive jenama Kingston dan sebuah alat digital.

Eng Lai berkata, kesemua suspek kini ditahan reman dan kes disiasat di bawah Seksyen 51 (b) Akta Imigresen sehingga 28 Mei ini untuk siasatan di bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya dan sebatan tidak lebih dari enam sebatan.

Mereka turut disiasat di bawah Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM100,000 bagi setiap mesin judi yang dirampas dan penjara tidak melebihi lima tahun.