KPDNHEP terus pantau pasar raya, pusat beli-belah

Mohd Suffian beramah mesra bersama peniaga bazar ketika melakukan pemeriksaan di Bazar Ramadan Mahkota Square, di sini, semalam.
Mohd Suffian beramah mesra bersama peniaga bazar ketika melakukan pemeriksaan di Bazar Ramadan Mahkota Square, di sini, semalam.
A
A
A

KUANTAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengadakan pemantauan secara berterusan di pasar raya dan pusat membeli-belah bagi mengelak berlakunya sebarang penipuan jualan murah di negeri ini.

Ketua Pegawai Penguatkuasanya, Mohd Suffian Mohd Abass berkata, ini juga dapat memastikan tiada kenaikan harga melampau dikenakan peniaga walaupun pada dasarnya menawarkan harga murah.

"Memang normal bila datang perayaan, peniaga-peniaga akan membuat jualan pula sebagai daya tarikan untuk pengunjung membeli barang mereka.

"Kita akan buat pemantauan untuk pastikan jualan murah memang patuh peraturan perintah perihal dagangan harga jualan murah," katanya kepada media selepas melakukan pemeriksaan di Bazar Ramadan Mahkota Square, semalam.

Dalam pada itu, Mohd Suffian mengingatkan peniaga yang ingin membuat jualan murah perlu mendapatkan kebenaran daripada KPDNHEP terlebih dahulu.

Menurutnya, mereka menjalankan pemeriksaan berkaitan pematuhan kepada peraturan-peraturan jualan murah bagi memastikan hak penggunaan terpelihara daripada sebarang penipuan.

No Image Caption

"Perlu dapat kebenaran supaya mudah untuk kita buat harga perbandingan yang dijual sebelum dan selepas promosi jualan murah dilakukan.

Artikel Berkaitan:

"Dan peniaga yang melaksanakan jualan murah minimum pengurangan tidak boleh kurang 10 peratus daripada harga asal.

"Kita yakin jualan murah dapat membantu meringankan beban pengguna di negeri ini, namun kita berharap agar mereka (peniaga) tidak menipu dalam penjualan murah atau tidak tindakan tegas akan dikenakan," katanya.

Tambahnya, pihak yang terlibat melakukan kesalahan boleh dikenakan tindakan di bawah Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Harga Jualan Murah) 1997.

Sementara itu, Mohd Suffian berkata, pengguna juga perlu bijak berbelanja dan memeriksa harga yang terdapat pada barangan yang dibeli.

"Ini perlu memandangkan pilihan di tangan pengguna dan mereka perlu buat pilihan yang tepat dan tidak mudah terpedaya dengan jualan murah. Jika terdapat sebarang aduan boleh salurkan terus kepada kami untuk tindakan lanjut," katanya.