Duit KWSP sebanyak RM34,892 lebur

Noorzainy Mohd Noor
Noorzainy Mohd Noor
A
A
A

KEPALA BATAS - Seorang suri rumah mengalami kerugian sebanyak RM34,892 akibat ditipu sindiket pelaburan yang tidak wujud semalam.

Suri rumah berusia 57 tahun itu memindahkan kesemua wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) miliknya ke akaun seorang individu yang tidak dikenalinya dengan harapan akan mendapat pulangan berganda.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, wanita berkenaan terpedaya dengan tawaran dalam sebuah iklan di Facebook.

Menurutnya, iklan tersebut menawarkan pelaburan wang iaitu RM500 dengan pulangan sebanyak RM6,300 dalam tempoh tiga hari.

"Bagaimanapun, mangsa sendiri tidak mengetahui jenis pelaburan yang ditawarkan. Akibat mempercayai tawaran pulangan tersebut tanpa mengetahui sumber pelaburan, mangsa telah membuat kira-kira 22 kali transaksi di sekitar Bertam Indah dan Tasek Gelugor.

”Mangsa telah memindahkan kesemua wang simpanan KWSP miliknya ke akaun suspek apabila mempercayai dia akan menerima wang berganda daripada jumlah wang yang dilaburkan itu," katanya ketika dihubungi tadi.

Tambahnya, mangsa tidak pernah berjumpa dengan individu tersebut dan tidak pernah menandatangani sebarang dokumen perjanjian pelaburan.

"Mangsa hanya percaya individu di sebalik Facebook tersebut kononnya sedang menjalankan pelaburan wang. Bagaimanapun, dia sedar ditipu apabila gagal menerima sebarang wang pulangan selepas lebih seminggu membuat pelaburan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Noorzainy berkata, mangsa membuat laporan polis selepas merasakan dirinya ditipu oleh sindiket penipuan.

"Saya menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan sebarang iklan pelaburan di laman sosial yang menawarkan pulangan wang lumayan tanpa sebarang bentuk usaha dilakukan.

"Sebarang bentuk pelaburan yang dianjurkan oleh mana-mana syarikat haruslah mendapat kebenaran daripada Bank Negara Malaysia untuk mengutip wang daripada mana-mana individu bagi tujuan tersebut," katanya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak mudah terperdaya dengan sebarang iklan pelaburan pulangan wang, pinjaman wang tidak wujud dan pelbagai kes yang melibatkan penipuan internet.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.