Geng Gedegang tumpas

Shafa'aton (kanan) dan Ana menunjukkan mesin air tin yang berjaya dirampas.
Shafa'aton (kanan) dan Ana menunjukkan mesin air tin yang berjaya dirampas.
A
A
A

SUNGAI BULOH - Polis berjaya menumpaskan geng curi mesin air tin layan diri yang dikenali sebagai kumpulan Gedegang dengan tertangkapnya empat lelaki tempatan minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa'aton Abu Bakar berkata, suspek ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh dalam tiga serbuan berasingan bermula 30 April lalu hingga 8 Mei.

Menurutnya, dalam serbuan pertama di Cheras, polis menahan dua lelaki, diikuti serbuan ke dua di Rawang (1 lelaki) dan serbuan ke tiga di Sungai Buloh (1 lelaki).

"Semua suspek berusia 23 hingga 29 tahun. Dua daripadanya merupakan bekas pekerja yang menjalankan servis perkhidmatan mesin layan diri dan seorang lagi suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkait dadah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di IPD Sungai Buloh hari ini. Hadir sama Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sungai Buloh, Asisten Superintendan Polis, Ana Mohamed.

Shafa'aton berkata, susulan tangkapan empat suspek itu, polis berjaya menemui semula enam mesin minuman air tin layan diri masing-masing satu di Flat Sri Kota Bandar Tun Razak, Vista Mutiara Kepong, Taman Mawar Cheras, Bukit Beruntung dan Ipoh Perak.

"Polis juga merampas beberapa jenis barang yang disyaki digunakan dalam kegiatan itu, kereta jenis Proton Satria, satu helai jaket, mesin gerudi elektrik dan pemutar skrew.

Artikel Berkaitan:

Perkakasan yang dipercayai digunakan kumpulan Gedegang melakukan kegiatan mencuri mesin air tin layan diri.
Perkakasan yang dipercayai digunakan kumpulan Gedegang melakukan kegiatan mencuri mesin air tin layan diri.

"Siasatan lanjut mendapati kumpulan ini aktif sejak November tahun lepas dan dengan penangkapan suspek, polis berjaya menyelesaikan 10 kes berkait curi mesin layan diri," katanya.

Shafa'aton memberitahu, suspek akan menjual mesin yang dicuri kepada pembeli di sekitar Selangor, Melaka dan Perak pada harga antara RM3,000, hingga RM4,000 seunit.

"Sindiket mengiklankan penjualan mesin itu di Facebook dan menggunakan perkhidmatan lori sewa untuk menghantar mesin berkenaan kepada pembeli.

"Sebelum mesin dijual, sindiket akan mengumpil kotak penyimpan duit dan menjualnya secara berasingan pada harga RM700 sehingga RM2,000 seunit," katanya.

Katanya lagi, polis telah mengambil keterangan daripada pembeli mesin berkenaan dan mendapati mereka tidak tahu ia merupakan mesin curi.

"Semua suspek masih dalam tempoh reman dan akan diserahkan kepada IPD lain di kawasan Melaka, Perak dan Selangor untuk siasatan lanjut kes ini," katanya.