Perak benarkan sekatan jalan ke Hutan Simpan Air Chepam diroboh

Ahmad Faizal
Ahmad Faizal
A
A
A

IPOH – Selepas lebih empat bulan pendekatan secara diplomasi tidak menemui jalan penyelesaian, Kerajaan Perak akhirnya membenarkan operasi meroboh sekatan jalan menuju Hutan Simpan Air Chepam di Gerik yang dibina secara haram oleh penduduk Kampung Tasik Cunex di Gerik.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kebenaran merobohkan sekatan atau blockade yang dibina tanpa kebenaran di atas tanah milik kerajaan negeri itu dibuat selepas pihaknya meneliti semua aduan dan sudut perundangan.

“Kerajaan negeri telah memutuskan untuk membenarkan tindakan penguatkuasaan merobohkan sekatan yang dibina tanpa kebenaran di atas tanah kerajaan negeri. Operasi dijalankan pagi tadi berlangsung tanpa sebarang insiden tidak diingini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dalam lawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Waytha Moorthy ke kawasan itu, 18 Februari lalu penduduk mendakwa sekatan dibuat di atas tanah adat mereka, namun semakan menunjukkan kerajaan masih belum mengiktiraf tanah adat yang dituntut itu.

Menurutnya, penduduk telah mengemukakan permohonan untuk mewartakan kawasan Tanah Adat Orang Asli seluas 12,465 hektar.

"Mereka menyatakan bahawa tuntutan tanah adat itu mesti dipersetujui terlebih dahulu bagi membolehkan mereka membenarkan kayu-kayu yang telah ditebang dikeluarkan dari kawasan pembalakan.

"Sehingga kini Jabatan Peguam Negara masih belum menimbang permohonan berkenaan,” katanya.

Ahmad Faizal berkata, pembukaan sekatan sepatutnya dilakukan oleh Pejabat Daerah dan Tanah pada 23 April lepas, namun kerja-kerja itu telah dilakukan oleh syarikat pembalakan tanpa melibatkan mana-mana agensi kerajaan berkaitan.

Artikel Berkaitan:

Keadaan itu katanya, menyebabkan penduduk membuat bantahan dan cuba menghalang lori daripada mengeluarkan hasil balak dengan membuat perisai manusia.

“Isu ini telah disensasikan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tertentu yang mendakwa ia sebagai perbuatan buli ke atas masyarakat orang asli. Saya dimaklumkan laporan polis berasingan dibuat oleh wakil penduduk dan syarikat pembalakan, kerajaan negeri memberi kaminan tindakan akan diambil mengikut undang-undang sekiranya wujud sebarang unsur jenayah mahupun kekerasan.

“Bagi mengelak konfrantasi dengan penduduk, syarikat pembalak sebelum ini telah cuba menggunakan laluan alternatif lain untuk mengeluarkan hasil kayu yang telah ditebang, namun tetap dihalang penduduk kampung berkenaan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau menafikan aktiviti pembalakan membabitkan 80 hektar di kawasan Hutan Simpan Air Chepam, Hulu Perak itu dijalankan secara ’cuci mangkuk’.

Jelasnya, semua aktiviti pembalakan yang diluluskan dijalankan secara lestari yang mana hanya pokok-pokok mengikut piawaian dibenarkan ditebang melalui kaedah 'tagging’.

"Kerajaan negeri secara konsisten memastikan urusan pembalakan tidak melebihi Catuan Pembalakan Tahunan iaitu 7,744 hektar setiap tahun seperti yang dikehendaki oleh Majlis Tanah Negara,” katanya.