Kerja baik pulih kerosakan pam di SSP3 capai tahap 50 peratus

Abdul Raof
Abdul Raof
A
A
A

SHAH ALAM - Kerja-kerja baik pulih kerosakan peralatan pam air terawat di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa Tiga (SSP3) mencapai tahap 50 peratus sehingga jam 3 petang tadi.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan & Komunikasi, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Raof Ahmad berkata, kerja-kerja baik pulih itu tidak melibatkan sebarang penutupan loji dan hanya berlaku pengurangan pengeluaran agihan bekalan air terawat.

Beliau berkata, keadaan ini akan menyebabkan gangguan bekalan air sementara di kawasan-kawasan seperti yang dinyatakan sebelum ini.

"Pihak kami menyasarkan kerja-kerja pembaikan akan dapat disiapkan pada jam 9 malam ini dan selepas itu pam akan beroperasi semula bagi proses pengepaman air terawat ke sistem agihan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Difahamkan, antara kawasan yang terlibat dengan gangguan tersebut adalah Bukit Kuda & Jalan Batu 3, keseluruhan Seksyen 7, keseluruhan Seksyen 9, Seksyen 2, Seksyen 4, Seksyen 3, Seksyen 5, Seksyen 6, Seksyen 8, Seksyen 10 dan Seksyen 11.

Selain itu, kawasan lain yang turut terjejas adalah Seksyen 13, Seksyen 14, Seksyen 14, Seksyen 16, Padang Jawa, Seksyen 17. Seksyen 18, Seksyen 19, Seksyen 20, Seksyen 23, Seksyen 24, Seksyen 25, Taman Putramas, dan Seksyen 12.

Dalam pada itu Abdul Raof berkata, pihaknya juga menjangkakan pemulihan bekalan adalah secara berperingkat bermula awal pagi esok.

"Bagi memberikan bantuan kepada pelanggan-pelanggan yang terjejas, pihak kami telah mengaktifkan dua Pusat Khidmat Setempat di Kompleks Sukan SUK, Seksyen 5 dan Kolam Air Seksyen 16," katanya.

Artikel Berkaitan:

Di samping itu, Abdul Raof berkata, pelanggan juga boleh mendapatkan maklumat bekalan daripada pegawai PKS Air Selangor kami yang beroperasi 24 jam sehari.

Tambah beliau, bantuan bekalan air kecemasan melalui lori-lori tangki air turut digerakkan ke kawasan-kawasan terjejas sehingga bekalan pulih sepenuhnya.

"Pili air awam juga dibuka di Persiaran Astana, Mutiara Bukit Raja 2, Bandar Baru Bukit Raja (Koordinat GPS: 3°05'18.2"N 101°26'52.4"E) bagi membantu pelanggan mendapatkan bekalan air kecemasan.

"Pihak kami memohon maaf atas segala kesulitan dan mengambil segala usaha bagi mempercepatkan proses pemulihan di kawasan-kawasan terjejas," katanya.