Sokongan akar umbi Umno tidak goyah

Norhaspida Yatim

Toh Puan Zaitun Mat Amin
Toh Puan Zaitun Mat Amin
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Fenomena keluar parti oleh pemimpin Umno tidak melunturkan semangat pejuang parti keramat Melayu itu malah mereka berikrar untuk terus berdiri teguh bagi memastikan ia bangkit dalam PRU15.

Ketua Wanita Umno Terengganu, Toh Puan Zaitun Mat Amin berkata, sokongan padu akan terus diberikan terhadap Umno agar terus bangkit demi membela nasib Melayu Islam di negara ini.

"Segala cabaran dan kemelut yang melanda Umno kini dianggap sebagai proses ‘pemutihan’ dan penyusunan semula dalam kalangan pucuk pimpinan parti.

“Pendirian Wanita Umno Terengganu tidak sesekali goyah kerana kekuatan sebenar parti kita terletak di akar umbi yang tiada pada mana-mana parti," katanya kepada Sinar Harian.

Ditanya sama ada fenomena itu mempengaruhi sokongan terhadap Umno, katanya, ia tidak memberi kesan kepada sokongan akar umbi.

“Semangat akar umbi masih kukuh dan berharap Umno terus bergerak demi survival politik.

"Kami tidak tergugat dengan tindakan mereka yang meninggalkan parti demi mencari keuntungan jarak dekat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru kepada seluruh penyokong parti supaya bertenang dan tidak mudah melatah dengan apa yang digembar-gemburkan.

Artikel Berkaitan:

“Bertenang, bersabar dan istiqamah. Itu yang perlu kita lakukan buat masa ini dan jangan mudah terpengaruh dengan cerita-cerita tidak benar.

"Dalam keadaan sekarang, kita perlu ambil iktibar, bersabar dan kembali kepada prinsip perjuangan asal,” katanya.