TH serah zakat perniagaan RM3.44 juta kepada Zakat Pulau Pinang

Syed Saleh (tiga, kiri) menyampaikan zakat kepada Tun Abdul Rahman (empat, kiri) dalam satu majlis ringkas di Seri Mutiara, semalam.
Syed Saleh (tiga, kiri) menyampaikan zakat kepada Tun Abdul Rahman (empat, kiri) dalam satu majlis ringkas di Seri Mutiara, semalam.
A
A
A

GEORGETOWN - Lembaga Tabung Haji (TH) menyerahkan Zakat TH berjumlah RM3,446,420.49 bagi tahun kewangan berakhir 2018 kepada Zakat Pulau Pinang.

Penyerahan zakat berkenaan disampaikan Pengurus Besar Kanan (Haji) TH, Datuk Sri Syed Saleh Syed Abd Rahman kepada Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas dalam satu majlis ringkas di Seri Mutiara, semalam.

Syed Saleh berkata, setiap tahun, TH melaksanakan bayaran zakat yang merupakan sebahagian daripada tanggungjawab TH sebagai sebuah organisasi Islam dengan sasaran untuk memperkasakan kewangan Islam dan pembangunan sosio-ekonomi ummah terutama bagi golongan asnaf.

"TH berharap pembayaran zakat ini dapat dimanfaatkan oleh Zakat Pulau Pinang ke arah memantapkan program-program zakat yang dirangka di negeri Pulau Pinang bagi kelestarian ekonomi golongan asnaf.

"Pada tahun ini, TH memperkasakan lagi tanggungjawabnya dengan pelaksanaan Program Zakat yang disasarkan kepada golongan memerlukan melalui penganjuran program berbentuk pendidikan, keusahawanan, kebajikan dan kemasyarakatan. Inisiatif tersebut diharap memberi impak positif berganda kepada golongan asnaf," katanya kepada Sinar Harian.

Turut hadir pada majlis berkenaan Pengarah Jabatan Agama Islam Pulau Pinang merangkap Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Pulau Pinang (ZPP), Datuk Sazali Hussein, Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, Pengarah TH Pulau Pinang, Abu Shukor Jangga dan pegawai ZPP dan anggota-anggota TH.

Syed Saleh berkata, bayaran zakat bagi negeri Pulau Pinang ini mencatatkan peningkatan sebanyak 24.9 peratus berbanding tahun 2017 (RM2,759,734.60). Tambahnya, jumlah keseluruhan bayaran Zakat TH 2018 terus mencatatkan peningkatan sebanyak 26.6% (RM85.57 juta) berbanding tahun 2017 (RM67.61).

Artikel Berkaitan: