Penjawat awam Kedah terima bantuan khas Aidilfitri RM1,000

Mukhriz Tun Mahathir
Mukhriz Tun Mahathir
A
A
A

ALOR SETAR - Kira-kira 4,711 penjawat awam negeri termasuk 316 pegawai lantikan kontrak dan sementara menerima berita gembira apabila kerajaan negeri meluluskan bantuan khas sebanyak RM1,000 sempena Aidilfitri tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, kelulusan itu dicapai dalam mesyuarat mingguan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Wisma Darul Aman, Alor Setar semalam.

Katanya, bayaran bantuan khas akan diberikan pada 30 Mei ini bagi membolehkan penjawat awam membuat persiapan bagi menyambut perayaan Aidilfitri.

"Seperti mana tahun-tahun lepas, Ramadan ini semestinya bulan yang sentiasa dinanti-nantikan mereka yang di dalam dirinya dihadiahkan secebis cahaya iman.

"Mana tidaknya, dalam bulan yang mulia ini usaha-usaha untuk melakukan perubahan semestinya menjadi lebih mudah berbanding di dalam bulan-bulan biasa yang lain," katanya pada perhimpunan pagi dan program Ihya Ramadan di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Mukhriz berkata, penjawat awam Kedah turut diingatkan mengukuhkan ikatan silaturahim, malah tidak hilang arah dan fokus dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab kian mencabar.

Katanya, mereka turut diingatkan berfikir secara kreatif dan kritis dalam melaksanakan tugas dan bukan hanya mengikut secara membuta tuli.

"Penjawat awam harus memastikan perkhidmatan awam tidak dipertikaikan dan bertindak pantas dalam tugasan berlandaskan prinsip bersih, cekap dan amanah," katanya.

Artikel Berkaitan: