Pahang lulus permohonan ambilan 32 lot tanah hak milik di Lipis

Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang telah meluluskan 32 lot tanah hak milik berkeluasan 3.5509 hektar di Mukim Telang dan Batu Yon, Daerah Lipis bagi projek Menaik Taraf Jalan Lubuk Kulit-Sungai Ular.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, permohonan kelulusan pengambilan tanah itu dibuat menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) yang bermesyuarat pada Selasa.

Menurutnya, kelulusan di bawah seksyen 3(1)(a) Akta Pengambilan Tanah 1960 dilakukan bagi melaksanakan projek di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

"Jajaran projek ini melibatkan lot tanah di perkampungan Lubuk Kulit bermula dari Jambatan Berchang Baru dan berhampiran dengan Dewan Orang Ramai Lubuk Kulit serta Sekolah Kebangsaan Lubuk Kulit.

"Ia berakhir di jalan masuk ke Pejabat Ladang Bukit Puteri berhampiran dengan Masjid Sungai Ular dan Pusat Internet Komuniti RTP Sungai Ular," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa

Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, KKDW telah menyediakan anggaran peruntukan kos keseluruhan projek bernilai RM66 juta.

"Anggaran tersebut termasuk kos pampasan pengambilan tanah sebanyak RM3.63 juta.

"Saya berharap projek naik taraf jalan di kawasan ini dapat memberikan kemudahan perhubungan jalan raya selamat dan selesa serta meningkatkan taraf kehidupan yang sejahtera kepada rakyat," kata beliau.

Artikel Berkaitan: