KKD tidak terima, lulus permohonan Jelajah Minta Maaf

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) menjelaskan pihaknya tidak menerima sebarang permohonan atau kelulusan untuk penganjuran Jelajah Minta Maaf oleh pelawak kontroversi, Jocelyn Chia dan Chrissie Mayr.

Jawatankuasa Agensi Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) KKD menerusi kenyataan memaklumkan, permohonan kemasukan bagi artis luar negara atau penggambaran filem asing di Malaysia perlu dikemukakan kepada pihaknya bagi tujuan penilaian sebelum dipertimbangkan untuk kelulusan.

"Penafian ini dibuat susulan hantaran pemilik akaun Instagram @chrissiemarypod serta tular di laman media sosial mengenai promosi persembahan Apology Tour di Live House Kuala Lumpur yang dikatakan akan berlangsung pada 26 Ogos depan di TREC Kuala Lumpur," kata kenyataan itu pada Isnin.

Menurut kenyataan itu, sebarang hebahan dan promosi serta jualan tiket tidak boleh dilakukan sebelum memperoleh kebenaran penganjuran program daripada pihak berkuasa termasuklah surat kelulusan daripada PUSPAL.

"Maklumat lanjut berkaitan garis panduan persembahan artis luar negara boleh didapati dengan melayari laman web www.kkd.gov.my atau menghubungi PUSPAL di talian 03-89115355/5384 atau e-mel puspal@kkd.gov.my," katanya lagi.

Perancangan Jocelyn dan rakannya yang juga pelawak komedi berdiri, Chrissie Mayr mementaskan persembahan jelajah itu mendapat bantahan dan tentangan ramai.

Selepas mempersendakan rakyat negara ini dalam beberapa hantaran tidak menyenangkan di media sosial.

Jocelyn mencetuskan kemarahan rakyat Malaysia selepas menjadikan tragedi kehilangan pesawat MH370 sebagai bahan jenakanya satu persembahan di Amerika Syarikat.

Kemudian, Chrissie pula mengeruhkan keadaan apabila menyokong Jocelyn dan menghina netizen Malaysia di media sosial.

ARTIKEL BERKAITAN:

Netizen bantah persembahan Jocelyn Chia di Malaysia