1,046 geran hak milik kekal diserah kepada pemilik

Aminuddin (tiga kiri) menyerahkan geran berkenaan kepada penerima.
Aminuddin (tiga kiri) menyerahkan geran berkenaan kepada penerima.
A
A
A

TAMPIN - Kerajaan Negeri Sembilan telah menyerahkan 1,046 geran penukaran hakmilik pajakan kepada hakmilik kekal kepada pemilik kediaman di negeri ini sejak ia dilaksanakan tiga tahun lalu.

Menteri Besar Negeri Sembilan,Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, sebanyak 1,641 rekod permohonan diterima sejak 2020 hingga kini namun 1,046 permohonan diluluskan manakala 10 lagi permohonan ditolak kerana tidak menepati syarat ditetapkan manakala bakinya dalam tindakan.

Menurutnya, usaha itu merupakan manifesto Tawaran Pakatan Harapan Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, yang telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Sembilan pada 12 dan 19 Jun 2019.

"Pada mulanya, ia dilaksanakan secara pilot project di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat, Ampangan dan Paroi dalam daerah Seremban.

Siti Khadijah @ Normah Maamor, 83 (kanan) bersama anaknya melihat geran yang diterima mereka pada majlis berkenaan.
Siti Khadijah @ Normah Maamor, 83 (kanan) bersama anaknya melihat geran yang diterima mereka pada majlis berkenaan.

"Bagaimana pun, pada 2021,Pihak Berkuasa Negeri telah meluluskan lapan kawasan lagi di Daerah Tampin, iaitu dua kawasan di DUN Gemencheh dan tiga kawasan di DUN Repah serta tiga kawasan di DUN Gemas," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai Majlis Penyampaian Geran Bagi Permohonan Penukaran Hakmilik Pajakan kepada Hakmilik Kekal dan Penyerahan Bantuan Wang Ihsan (BWI) Bencana Banjir 2023 bagi daerah Tampin di sini pada Khamis.

Jelasnya, tawaran berkenaan seterusnya diperluaskan kepada semua taman dan rumah rakyat di Negeri Sembilan.

"Kita semua tahu bahawa kediaman yang berstatus pegangan bebas atau pegangan selama-lamanya mempunyai nilai pasaran yang lebih tinggi berbanding hakmilik berstatus pajakan.

"Selain itu, antara manfaat lain yang boleh dinikmati oleh pemilik adalah mereka tidak perlu risau untuk memohon lanjutan pajakan pada masa hadapan dan berdepan risiko berkemungkinan permohonan lanjutan pajakan tidak diluluskan," katanya.