Beras Walimah 100kg percuma untuk kenduri kahwin

Muhammad Nabil (kanan) menyerahkan sekampit beras kepada penerima sebagai gimik pemberian 100kg beras sempena Program Beras Walimah oleh Kelab Silaturahim Bagan Datuk.
Muhammad Nabil (kanan) menyerahkan sekampit beras kepada penerima sebagai gimik pemberian 100kg beras sempena Program Beras Walimah oleh Kelab Silaturahim Bagan Datuk.
A
A
A

BAGAN DATUK - Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Kelab Silaturahim Bagan Datuk membuat kelainan dengan memberikan 100 kilogram (kg) beras untuk kenduri kahwin buat penduduk di kawasan Parlimen Bagan Datuk.

Timbalan Pengerusi Kelab Silaturahim Bagan Datuk, Muhammad Nabil Saleh berkata, program tersebut telah dimulakan sejak hampir setahun lalu bertujuan meraikan pengantin serta keluarga mereka.

Menurutnya, pemberian beras itu juga bagi meringankan beban keluarga pengantin selain jemputan kenduri yang kebanyakan daripada penduduk setempat turut mendapat manfaat sumbangan tersebut.

"Kebanyakan kenduri-kendara di sini masih dibuat secara gotong-royong, jadi kita fikir sumbangan beras 100kg ini dapat membantu keluarga pengantin mengurangkan lagi kos kenduri mereka.

"Alhamdulillah, sambutan memang sangat menggalakkan. Pada awalnya kita bagi pada mereka yang memohon tetapi sekarang ini dapat sahaja kad kahwin kita terus beri beras dalam masa tiga atau empat hari sebelum majlis," katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Muhammad Nabil berkata, setakat ini sebanyak 1.3 tan beras telah diagihkan kepada 85 keluarga pengantin untuk digunakan pada hari kenduri melibatkan dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Rungkup dan Hutan Melintang, masing-masing terletak di bawah kawasan Parlimen Bagan Datuk.

Sementara itu, di sebalik isu kesukaran mendapatkan beras tempatan, beliau menjelaskan program berkenaan tetap diteruskan walaupun terpaksa menggunakan beras import dengan harga lebih tinggi.

Muhammad Nabil (kanan) menyerahkan sekampit beras kepada penerima sempena Program Beras Walimah oleh Kelab Silaturahim Bagan Datuk.
Muhammad Nabil (kanan) menyerahkan sekampit beras kepada penerima sempena Program Beras Walimah oleh Kelab Silaturahim Bagan Datuk.

Artikel Berkaitan:

"Kita sedang bekerjasama rapat dengan pelbagai agensi untuk membantu mendapatkan beras tempatan bagi memastikan Program Beras Walimah itu tidak terhenti" ujar beliau.

Jelas Muhammad Nabil, program tersebut juga mendapat sokongan penuh daripada Ahli Parlimen Bagan Datuk yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk melaksanakan program tersebut.

"Sumbangan ini kita tak pilih bulu. Sesiapa sahaja yang layak kita bagi kerana program digerakkan oleh NGO dan kita tidak terikat dengan mana-mana parti politik.

"Kita juga mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin menyumbang atau turut serta di dalam Program Beras Walimah kami ini," katanya.

Dalam pada itu,beliau berkata, selain Program Beras Walimah, kelab juga turut menjalankan beberapa program berbentuk kepimpinan dan pendidikan termasuklah Kem Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melibatkan pelajar-pelajar terpilih di sekolah-sekolah dalam kawasan Parlimen Bagan Datuk.