Yayasan Perak pilih NGO bantu agih kotak makanan

Seramai 204 peserta terdiri dalam kalangan belia dan pelajar menyertai Explorace Pemadam Negeri Perak di Ipoh.
Seramai 204 peserta terdiri dalam kalangan belia dan pelajar menyertai Explorace Pemadam Negeri Perak di Ipoh.
A
A
A

IPOH - Pelantikan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang akan membantu dalam pengagihan kotak makanan kepada rakyat akan dikendalikan sepenuhnya oleh Yayasan Perak.

Menurut Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Mohd Azlan Helmi Helmi, pihaknya tidak terlibat secara langsung dalam menentukan NGO tersebut selepas bantuan itu tidak lagi disalurkan melalui pusat khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

"Penetapan tersebut tidak dibuat di peringkat pejabat saya. Saya tidak menetapkan NGO-NGO tertentu yang akan memainkan peranan malah mekanisme pengagihan pun tidak tahu.

"Saya selaku ADUN (Tualang Sekah) memang ada diminta oleh Yayasan Perak untuk menghantar nama NGO. Dalam hal ini, mungkin pihak Yayasan Perak akan berhubung dengan mereka (ADUN)," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan pertandingan Explorace Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Negeri di Klebang di sini pada Sabtu.

Sinar Harian melaporkan pengagihan kotak makanan kepada rakyat akan dibantu oleh NGO selepas menerima aduan terdapat pihak tertentu membungkus semula bantuan itu dan menampal pelekat tertera logo parti politik.

Yayasan Perak mengambil tanggungjawab memastikan setiap kotak makanan itu selamat sebelum diagihkan kepada rakyat.

Pada majlis itu, Mohd Azlan Helmi yang juga Pengerusi Pemadam Perak berkata, peranan keluarga dan masyarakat penting dalam membantu penagih untuk kembali ke pangkal jalan.

Artikel Berkaitan:

Mohd Azlan Helmi (empat dari kanan) menyampaikan hadiah kepada kumpulan yang menjuari Explorace Pemadam Negeri Perak di Ipoh.
Mohd Azlan Helmi (empat dari kanan) menyampaikan hadiah kepada kumpulan yang menjuari Explorace Pemadam Negeri Perak di Ipoh.

Tambah beliau, tanggungjawab itu perlu dipikul bersama dalam memberi galakkan kepada penagih untuk berhenti terjebak dalam kegiatan penyalahgunaan dadah.

"Tanggungjawab ini bukanlah suatu kerja yang ringan. Begitu juga yang dihantar ke pusat pemulihan, tidak sewajarnya dipinggirkan daripada keluarga.

"Penyalahgunaan dadah ini juga tidak boleh dibebankan sepenuhnya kepada agensi penguatkuasaan sebaliknya perlu ada kefahaman yang menyeluruh daripada semua pihak untuk mencegah ia daripada terus berlaku,” katanya.

Mohd Azlan Helmi berkata, NGO juga perlu mencari pendekatan yang lebih dinamik bagi memastikan masalah penagihan ini dalam kalangan remaja dan belia dapat dibendung.

"Ahli-ahli NGO yang terlibat secara langsung dengan pencegahan dadah ini mempunyai banyak kepakaran dan pengalaman.

"Jadi, kaedah baru yang lebih sistematik perlu dicari dan diperhalusi untuk membendung masalah ini di peringkat awal," katanya.