PLKN 3.0: 90 peratus latihan ala tentera

Fadillah (dua dari kiri) menyampaikan anugerah kepada salah seorang penanam kenaf pada Majlis Perasmian Sambutan Jubli Emas Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) di Kota Bharu, pada Isnin.
Fadillah (dua dari kiri) menyampaikan anugerah kepada salah seorang penanam kenaf pada Majlis Perasmian Sambutan Jubli Emas Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) di Kota Bharu, pada Isnin.
A
A
A

KOTA BHARU - Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang kembali dihidupkan semula akan menggunakan 90 peratus latihan 'ala tentera'.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, baki 10 peratus lagi latihan itu akan dilengkapkan dengan tatanegara.

"Jadi kita memang perlukan PLKN supaya kerajaan boleh membangkitkan semangat kenegaraan kepada belia-belia.

"Bukan sahaja semangat tapi disiplin ketenteraan itu akan dibangunkan supaya belia yang gagah perkasa dan mempunyai semangat patriotik tinggi dapat dilahirkan," katanya semasa sidang akhbar pada Isnin.

Sebelum itu, beliau merasmikan Majlis Perasmian Sambutan Jubli Emas Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN), di sini.

Menurut beliau, sejak dari dahulu lagi, fokus PLKN kepada belia cuma pendekatan sekarang berbeza.

"Kalau diikutkan perbelanjaan kali ini juga berbeza, jika dahulu RM500 juta sekarang RM100 juta," ujar beliau.

Sinar Harian pada Isnin melaporkan, kerajaan bersetuju untuk meneruskan PLKN 3.0 dengan kaedah latihan berbeza iaitu menggalakkan anak muda untuk menjalani latihan disiplin dan ketenteraan di kem tentera.

Artikel Berkaitan:

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, bagi tujuan tersebut, sebanyak 13 kem pusat latihan askar Wataniah dengan kapasiti yang mampu menampung seramai 20,000 pelatih akan digunakan bagi sesi latihan untuk tempoh 45 hari.