Thailand mulakan operasi bawa pulang rakyatnya dari Tel Aviv

Bangunan musnah berikutan pertempuran berterusan di Semenanjung Gaza. - Foto AFP
Bangunan musnah berikutan pertempuran berterusan di Semenanjung Gaza. - Foto AFP
A
A
A

BANGKOK - Thailand memulakan operasi memindahkan rakyatnya dari Tel Aviv berikutan pertempuran berterusan di Semenanjung Gaza.

Timbalan Menteri Luar, Jakkapong Sangmanee berkata, seramai 1,437 rakyatnya telah mendaftar untuk penghantaran pulang secara sukarela, manakala beberapa orang termasuk mereka yang cedera telah dipindahkan ke zon selamat.

"Thailand akan menghantar pulang 15 warga Thailand yang cedera pada Rabu (11 Oktober) diikuti mereka yang sudah berada di zon selamat.

"Kerajaan dan Perdana Menteri, Srettha Thavisin amat mementingkan keselamatan dan kebajikan warga Thailand, dan agensi berkaitan sedang menyelaras penghantaran pulang yang pantas dan selamat,” katanya pada sidang media di sini pada Isnin.

Kumpulan pertama dijangka tiba dengan penerbangan komersial di Bangkok pada Khamis.

Jakkapong berkata Kedutaan Diraja Thailand (RTE) di Tel Aviv akan menghubungi warga Thailand yang ingin pulang dan menyelaraskan pemindahan ke tempat berkumpul untuk pemindahan.

Beliau berkata, terdapat 23 warga Thailand telah meminta untuk kekal di Israel (setakat 9 pagi waktu tempatan pada Isnin).

Kementerian Luar Thailand memaklumkan terdapat kira-kira 30,000 warga Thailand di Israel, dan 5,000 daripadanya berada di sekitar Semenanjung Gaza.

Artikel Berkaitan:

Jakkapong berkata, Jabatan Hal Ehwal Konsular telah membuka 30 talian penting tambahan (hotline) berbanding 30 talian sedia ada, untuk ahli keluarga yang ingin menghubungi/mengesan saudara mereka.

Selain itu, Jabatan juga membuka LINE Openchat yang dipanggil 'Request Assistance for Thai Nationals in Israel', yang boleh mencecah 5,000 orang sekali gus, dan telah membuka halaman Facebook baharu bertajuk 'The Department of Consular Affairs is Concerned for our Thai Family in Israel' sebagai satu lagi saluran komunikasi.

"Duta-duta Thailand di negara jiran telah bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan mengenai kemungkinan laluan pemindahan untuk warga Thailand dan bantuan lain,” katanya.

Pertempuran terkini di Palestin yang melibatkan Hamas, pihak berkuasa di Gaza dan rejim Israel sejak 7 Oktober telah mengakibatkan kehilangan ratusan nyawa kedua-dua belah pihak.