'Belum ada keputusan bawa pulang 2 tahanan Guantanamo' - Saifuddin Nasution

Saifuddin menyerahkan Geran Pertubuhan Prihatin Komuniti (GPPK) kepada wakil persatuan penduduk pada Program KDN Madani di Kompleks Sukan Bandar Tun Razak pada Ahad.
Saifuddin menyerahkan Geran Pertubuhan Prihatin Komuniti (GPPK) kepada wakil persatuan penduduk pada Program KDN Madani di Kompleks Sukan Bandar Tun Razak pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Belum ada sebarang ketetapan dalam rundingan membabitkan antara Malaysia dan pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) berhubung usaha membawa pulang dua warga Malaysia yang kini berada dalam tahanan di Penjara Teluk Guantanamo, Cuba.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, rundingan berkenaan masih dalam peringkat awal.

"Itu masih peringkat awal. Kita baharu sahaja mulakan rundingan dengan pihak berkuasa Amerika Syarikat.

"Jadi belum ada apa-apa ketetapan. Sebarang perkembangan kita akan maklumkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Program KDN Madani di Kompleks Sukan Bandar Tun Razak pada Ahad.

Turut hadir isteri Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Ditanya sama ada tahanan berkenaan akan diletakkan di bawah peruntukan undang-undang sedia ada seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) 2012, Akta Pencegahan Keganasan (Pota) 2015 sekembalinya ke negara ini, Saifuddin berkata, ia belum sampai ke peringkat itu lagi.

"Kita baharu berjumpa, mendengar dan membaca profil mereka serta keadaan terkini mereka.

Artikel Berkaitan:

"Kita belum sampai ke tahap dia (tahanan Guantanamo) itu pijak kaki ke bumi Malaysia. Ini baru peringkat awal," katanya.

Pada 25 September lalu, Saifuddin menerusi hantaran di media sosial berkata, kerajaan sedang mempercepatkan usaha membawa pulang dua warga Malaysia yang kini berada dalam tahanan di Penjara Teluk Guantanamo, Cuba.

Beliau dilaporkan berkata, perkara itu dibincangkan dalam pertemuan dengan Wakil Khas Hal Ehwal Guantanamo, Tina Kaidanow di New York baru-baru ini.

"Ini adalah pertemuan kedua saya dengan TYT Tina Kaidanow serta pertemuan susulan daripada lawatan saya ke Guantanamo Bay.

"Saya bertemu sendiri dengan kedua-dua warga Malaysia yang ditahan di sana. Kisah mereka membuatkan saya benar-benar tersentuh.

"Ini bertitik tolak tentang kehidupan, tentang keinsafan, tentang peluang menjadi insan lebih baik. Insya-ALLAH, kita akan usaha mempercepat urusan mereka kembali ke Malaysia," katanya menerusi hantaran di Facebook dan platform X sebelum ini.