Berpantang maut sebelum ajal

Hussein (dua,kanan) bersama Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi(dua,kiri) serta Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong(kiri) ketika menziarahi Mohammad Azrin di Hospital Klang pada Isnin.
Hussein (dua,kanan) bersama Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi(dua,kiri) serta Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong(kiri) ketika menziarahi Mohammad Azrin di Hospital Klang pada Isnin.
A
A
A

KLANG - Berpantang maut sebelum ajal. Demikian situasi yang berlaku terhadap seorang pegawai polis yang terjatuh pada ketinggian 6.10 meter ketika mengejar suspek dipercayai tokan dadah dalam kejadian di kawasan rumah kedai berhampiran Taman Sri Andalas di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kejadian melibatkan seorang pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan iaitu Inspektor Mohammad Azrin Yazid, 32.

Beliau berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 petang ketika pegawai berkenaan terlibat dalam operasi tangkapan ke atas seorang suspek berkait Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Ketika kejadian Mohammad Azrin bersama pasukannya pergi ke sebuah rumah kedai di kawasan Jalan Sri Sarawak, Taman Sri Andalas setelah menerima info berkaitan suspek sebelum mendapati pagar serta pintu rumah kedai berkenaan dalam keadaan tertutup.

"Beliau kemudiannya memanjat ke bahagian bumbung hadapan di bahagian tingkat tiga rumah kedai berkenaan sebelum melihat suspek yang cuba melarikan diri," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Katanya, pegawai terlibat kemudiannya menuruni menggunakan saluran batang paip yang dipegang sebelum terjatuh pada ketinggian 20 kaki.

"Biarpun dalam keadaan sakit, Mohammad Azrin tetap berusaha mengejar suspek sehingga ke kawasan kedai berhampiran sebelum berjaya menahan suspek.

"Pemeriksaan dijalankan kemudian menemui dua paket plastik berisi dadah jenis syabu dalam beg dipakai suspek," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, Mohammad Azrin kemudian dibawa ke Hospital Pantai Klang sebelum dirujuk ke Hospital Klang untuk rawatan lanjut.

"Mohammad Azrin mengalami kecederaan pada bahagian kaki, tangan dan leher akibat kejadian.

"Pembedahan kecil telah selesai dijalankan pada bahagian kaki dan kini dia berada dalam keadaan stabil," katanya.