Koperal polis didakwa sengaja cederakan lelaki

KULIM – Seorang anggota polis berpangkat koperal didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Ahad atas pertuduhan mencederakan seorang lelaki dalam kejadian di Jalan Tunku Putra di sini, April lalu.
Tertuduh, Shahrol Ikram Ahmad Halidin, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Hamizah Mat Shah.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang lelaki berusia 32 tahun di hadapan sebuah kedai alat ganti motosikal di Jalan Tunku Putra, kira-kira jam 11 pagi pada 20 April lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ain Fadilla Muhammad Fauzi menawarkan jaminan sebanyak RM6,000 dengan syarat tertuduh tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Bagaimanapun, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Datuk Kamal Pasha Jamal yang mewakili tertuduh memohon supaya jumlah jaminan dikurangkan.
Beliau berkata, anak guamnya sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak selain memperoleh pendapatan kira-kira RM3,000 sebulan.
Menurutnya, tertuduh juga tidak mempunyai alasan untuk melarikan diri kerana mempunyai keluarga dan berkemungkinan digantung kerja tanpa gaji.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin.
Kes disebut semula pada 10 Januari 2027.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

