FAMA, LPP diarah tingkat edaran BPT ke pinggir, luar bandar

Mohamad ketika sesi penerangan menteri berkenaan isu beras pada persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
Mohamad ketika sesi penerangan menteri berkenaan isu beras pada persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) telah diarahkan untuk meningkatkan pengedaran beras putih tempatan (BPT) ke kawasan pinggir bandar dan luar bandar termasuk kedai-kedai runcit.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, memandangkan margin jualan BPT hanya dikenakan sebanyak 50 sen bagi kampit 10 kilogram (kg) di peringkat runcit, kerajaan bersetuju untuk menyalurkan kos pengangkutan kepada pihak FAMA dan LPP bagi pengedaran BPT.

“Perlu saya tegaskan di sini bahawa peranan FAMA dan LPP dalam langkah intervensi ini hanya bersifat sementara dan bukanlah sebagai pengedar utama BPT di negara ini.

“Yang kedua, semua perolehan pembekalan beras putih tempatan di bawah kontrak kerajaan akan menggunakan BPI (beras putih import) dan pihak pembekal boleh mendapatkan bekalan pada harga borong RM3,200 per tan metrik (harga pintu gudang) dalam kampit 50kg dan ia tertakluk kepada syarat dan peraturan yang telah ditetapkan,” katanya ketika sesi penerangan di Dewan Rakyat pada Isnin.

Ujar Mohamad, pelaksanaan tersebut merupakan antara langkah intervensi tambahan bagi menangani isu bekalan beras susulan pertemuan beliau bersama Perdana Menteri pada 2 Oktober lalu.

Menurutnya, status terkini pihak Kementerian Kewangan (MOF) telah memanggil mesyuarat penyelarasan antara Kementerian Pertahanan (Mindef),Kementerian Dalam Negeri (KDN), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK)dan Jabatan Penjara Malaysia mengenai Peralihan Kontrak Kerajaan menggunakan beras putih import telah diadakan pada 3 Oktober dan 6 Oktober 2023 bagi mengenal pasti jumlah kontrak perolehan BPT bagi digantikan dengan BPI.

“Ketiga, menubuhkan Task Force Khas yang melancarkan operasi bersepadu melibatkan pelbagai agensi meliputi Kawal Selia Padi dan Beras (KPB), KPKM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).

“OP BPT Bersepadu ini telah dilaksanakan pada 5 Oktober 2023 diketuai oleh Timbalan Menteri KPKM bersama agensi-agensi terlibat melalui pemeriksaan ke tiga premis pemborong di sekitar Selangor.

Artikel Berkaitan:

“Sampel beras dari gudang pemborong juga telah diambil untuk analisis kimia oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI). Saya ingin menegaskan di sini bahawa pihak kerajaan akan mengambil tindakan yang tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati menukar kampit atau mencampurkan BPT dengan BPI atau menyorokkan BPT,” ujarnya.

Di samping itu, ulas beliau, dalam konteks Sabah, Labuan dan Sarawak, kerajaan telah bersetuju untuk memberikan subsidi sebanyak RM950 per tan metrik BPI mulai 5 Oktober 2023.

“Melalui kaedah ini, harga runcit BPI di kedua-dua negeri ini akan menjadi harga maksimum RM31 bagi sekampit 10kg.

“Langkah ini diambil memandangkan pengeluaran BPT di Sabah dan Sarawak adalah terhad. pada 7 Oktober 2023.

“Pemberian subsidi ini bertujuan bagi memastikan rakyat sentiasa mendapat bekalan beras yang mencukupi dengan harga yang stabil dan terkawal,” jelasnya.