Penganggur curi duit syiling dipenjara 14 hari

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

MUAR - Seorang penganggur dijatuhkan hukuman penjara 14 hari oleh Mahkamah Majistret di sini pada Khamis selepas didakwa mencuri duit syiling milik seorang pemuda minggu lalu.

Majistret Fatin Dalilah Khalid menjatuhkan hukuman tersebut selepas tertuduh, Amir Nurhakim Abd Khalid, 22, membuat pengakuan bersalah apabila kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, Amir Nurhakim didakwa secara tidak jujur menyimpan harta curi iaitu sebuah botol berisi duit syiling milik seorang pemuda berusia 30 tahun.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah kuarters perumahan di Pagoh pada jam 11.45 pagi 2 Oktober lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Siti Rohayu Salleh manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nor Hafizah Abdullah.

Mengikut fakta kes, pada 16 September pada jam 11 pagi, pengadu meninggalkan rumahnya di Bukit Pasir dalam keadaan berkunci.

Pada jam 11.30 pagi, 17 September, pengadu mendapati pintu bahagian dapur rumahnya dalam keadaan terbuka dan pemeriksaan lanjut mendapati terdapat barang hilang iaitu sebuah komputer riba berwarna merah dan sebuah tabung mengandungi wang tunai RM500.

Artikel Berkaitan:

Pengadu mengesaki rumahnya sudah dipecah masuk dan membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Pasir.

Pada 2 Oktober, tertuduh ditangkap polis pada jam 11.45 pagi di kuarters yang sama dan merampas tabung sebelum pengadu mengesahkan botol berwarna merah tersebut adalah miliknya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!