MBSA pupuk semangat altruisme melalui penganjuran festival

Majlis perasmian Festival Altruisme 3.0 di Pusat Konvensyen MBSA Seksyen 13 di sini disempurnakan Bee Eng (tengah).
Majlis perasmian Festival Altruisme 3.0 di Pusat Konvensyen MBSA Seksyen 13 di sini disempurnakan Bee Eng (tengah).
A
A
A

SHAH ALAM - Bagi memupuk semangat altruisme dengan lebih meluas kepada masyarakat mendorong Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menganjurkan Festival Altruisme 3.0 di sini.

Penganjuran festival berkenaan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) itu mendapat kerjasama Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam melalui Akademi Pengajian Bahasa UiTM.

Menurut Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Mohd Azhar Mohd Sharif penganjuran festival itu diharap dapat menggalakkan masyarakat setempat untuk menyumbang khidmat dan bakti kepada golongan kurang upaya (OKU).

"Festival Altruisme 3.0 dengan tema 'Altruisme Menyemai Kesedaran Komuniti Inklusif Kewujudan Golongan OKU' berjaya menyusun pelbagai aktiviti sejajar dengan objektif yang telah ditetapkan.

"Malah panganjuran festival ini juga menyediakan platform kepada organisasi dan komuniti luar mempromosikan produk, perkhidmatan dan peluang sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial organisasi yang terlibat.

"Salah satunya ialah Stesen Karnival OKU yang menyediakan aktiviti seperti permainan catur, dam ular dan domino braille serta pelbagai jenis permainan termasuk mewarna, melukis dan seni tanah liat," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Terdahulu, majlis perasmian Festival Altruisme 3.0 di Pusat Konvensyen MBSA Seksyen 13 di sini disempurnakan Naib Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis), Lim Bee Eng.

Hadir sama, Datuk Bandar Shah Alam, Dr Nor Fuad Abdul Hamid; Pengarah Unit Perkhidmatan OKU UiTM, Prof Dr Roslinda Alias dan Timbalan Setiausaha (Pengurusan) MBSA, Asmah Mohd Zin.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, antara pengisian lain yang menarik perhatian adalah forum Bual Bicara: Cakna OKU dengan kupasan tajuk 'Isu Ketidaksetaraan dan Kebolehcapalan dalam Kalangan OKU di Malaysia'.

Forum dikendalikan sendiri oleh Roslinda dengan barisan panel jemputan antaranya Pengarah Eden Firdaus Special Education, Dr Ahmad ldham Ahmad Nadzri dan atlet renang terbuka malaysia serta bekas pemain bola sepak buta kebangsaan, Faiq Adnan.

Pada masa sama, turut diadakan program sembang santai bersama Ketua Jurulatih Pasukan Bola Sepak Buta Malaysia dan Pengasas Kelab Bola Sepak Pan-Disability, Sunny Shalesh serta demonstrasi inklusif satu lawan satu.

Mohd Azhar berkata, aktiviti sempena festival tersebut bertepatan dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) yang memfokuskan kepada menjamin pendidikan menyeluruh dan ekuiti serta menggalakkan peluang pembelajaran sepanjang hayat kepada semua pelajar serta memupuk semangat perikemanusiaan dalam diri masing-masing.

"Festival ini juga bertujuan untuk membawa masyarakat khususnya agensi-agensi atau pihak berwajib untuk turut sama menggembleng idea dan tenaga dalam merangka kesejahteraan dan keharmonian komuniti inklusif ini," kata Mohd Azhar lagi.

Turut terlibat dalam festival kali ini adalah Unit Perkhidmatan OKU UITM, Pejabat Jaringan Industri Komuniti dan Alumni UITM serta agensi dalaman dan luaran UiTM seperti Kolej Kediaman Mawar, Kolej Kediaman Teratai, Hospital Al-Sultan Abdullah, Pusat Kesihatan UITM, Kolej Seni Kreatif, badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk NGO OKU.

Selain itu, sekolah Program Pendidikan Khas Integrasi, Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Jalan Peel, Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Selangor, Seksyen 18, Shah Alam dan Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 18 (1) adalah antara sekolah yang turut sama dalam festival kali ini.