Konflik Hamas-Israel: Syarikat penerbangan elak ruang udara Israel

Syarikat Air France turut menggantung operasi di Israel susulan konflik terbaharu. -Foto AFP
Syarikat Air France turut menggantung operasi di Israel susulan konflik terbaharu. -Foto AFP
A
A
A

NEW YORK - Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) menggesa syarikat penerbangan Amerika Syarikat (AS) dan juruterbang mengambil 'langkah ketat' semasa terbang di ruang udara Israel susulan konflik terbaharu Hamas-Israel.

Dalam kenyataan dikeluarkan Notis Misi Udara (NOTAM) itu sama dikeluarkan kerajaan Israel.

Sebelum ini, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengisytiharkan ' perang' selepas ratusan rakyatnya maut dan ribuan cedera. Lebih 300 penduduk Palestin turut terkorban dalam serangan udara rejim zionis itu.

"Susulan konflik berterusan di wilayah tersebut antara Hamas-Israel, pengendali syarikat penerbangan dinasihatkan meneliti semula keselamatan semasa, maklumat ancaman dan NOTAM." kata NOTAM.

Syarikat penerbangan seperti United Airlines, American Airlines dan Delta Air Lines telah mengumumkan bahawa mereka telah menangguhkan sementara penerbangan ke dan dari lapangan terbang antarabangsa berhampiran Tel Aviv.

"Operasi masa depan di lapangan terbang Tel Aviv akan digantung sehingga syarat membenarkan mereka disambung semula," kata United Airlines dalam satu kenyataan kepada CBS News.

Manakala American Airlines dan Delta Air Lines berkata dalam satu kenyataan bahawa operasi di Israel telah digantung sehingga Ahad depan.

"Kami akan terus memantau keadaan dengan mengutamakan keselamatan selain menyesuaikan operasi kami mengikut keperluan," kata American Airlines.

Artikel Berkaitan:

Delta Air Lines menambah bahawa pihaknya berusaha untuk mengangkut penumpangnya kembali ke AS dengan selamat serta bekerjasama dengan kerajaan seperti yang diperlukan untuk membantu penghantaran pulang warganya.

Turut membatalkan penerbangan ialah Air France, Lufthansa, Emirates, Ryanair dan Aegean Airlines. - Agensi