Konflik Hamas-Israel semakin sengit

Puluhan roket yang dilancarkan kumpulan Hamas dari Gaza City menuju ke Israel yang menyaksikan tentera dan orang awam Israel terbunuh. - Foto: AFP
Puluhan roket yang dilancarkan kumpulan Hamas dari Gaza City menuju ke Israel yang menyaksikan tentera dan orang awam Israel terbunuh. - Foto: AFP
A
A
A

BAITULMAQDIS - Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memberi amaran mengenai 'peperangan panjang dan sukar' ketika pertempuran sengit dengan pejuang Hamas telah menyaksikan ratusan orang awam di kedua-dua belah pihak terkorban selepas serangan mengejut terhadap negara tersebut.

Serangan terbaharu itu dianggap paling dahsyat sejak beberapa dekad yang menyaksikan Hamas melancarkan serangan roket besar-besaran dari darat, udara dan laut pada Sabtu yang dikatakan Israel telah meragut nyawa lebih 250 orang rakyatnya manakala lebih 1,400 cedera dan askar dijadikan tebusan.

Pegawai Gaza berkata, serangan udara bertubi-tubi Israel di kawasan pesisir pantai menyebabkan lebih 256 orang penduduk Palestin terkorban dan hampir 1,788 cedera.

Ketika pertempuran kemuncak pada Ahad, pergerakan Hizbullah yang di sokong Iran di Lubnan berkata, pihaknya turut melepaskan sebilangan besar peluru artileri dan peluru berpandu ke arah kedudukan Israel di kawasan sempadan yang dipertikaikan 'sebagai menyokong Hamas'.

Tentera Israel sebelum itu berkata, mereka melepaskan artileri ke selatan Lubnan sebagai tindak balas dari kawasan oleh penyerang tidak dikenali itu.

"Kami sedang memulakan perang yang panjang dan sukar yang memaksa serangan balas terhadap Hamas," kata Netanyahu menerusi hantaran di platform X, dahulunya dikenali sebagai Twitter.

Sejak Sabtu, Israel melakukan serangan udara di Genting Gaza sebagai tindak balas pelancaran 5,000 roket oleh Hamas ke negara haram tersebut.

Sehingga pagi Ahad, pertempuran senjata api masih berlaku kedua-dua pihak di beberapa lokasi termasuk balai polis di Sderot di sempadan Gaza.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Hamas, Ismail Haniyah berkata, kumpulan pejuang Palestin itu berada diambang kemenangan selepas melancarkan serangan mengejut ke atas Israel dari Genting Gaza.

"Kami berada di ambang kemenangan besar dan satu penaklukan terang-terangan terhadap di hadapan Gaza.

"Cukup-cukuplah, kitaran intifada dan revolusi dalam pertempuran untuk membebaskan tanah Palestin dan tahanan kita yang meringkuk dalam penjara di Israel mesti diselesaikan," kata Ismail dalam ucapan disiarkan di televisyen Al-Aqsa milik Hamas. - AFP