20 warga Thailand maut dalam konflik Hamas-Israel

Ramai rakyat Thailand bekerja dalam sektor pertanian di Israel. - Foto Agensi
Ramai rakyat Thailand bekerja dalam sektor pertanian di Israel. - Foto Agensi
A
A
A

BANGKOK - Kementerian Luar mengumumkan bahawa seramai 20 orang warga negara Thailand dilaporkan maut dalam konflik antara Hamas-Israel, sejak Sabtu lalu.

Katanya, jumlah warganegaranya yang dijadikan tebusan meningkat daripada tiga kepada 14 orang, berdasarkan laporan tidak rasmi warga Thailand di Israel.

Susulan serangan bermula Sabtu, sejumlah 150 orang dari pelbagai kewarganegaraan termasuk wanita dan kanak-kanak telah ditahan Hamas.

"Jumlah kematian warga Thailand meningkat kepada 20," kata jurucakap kementerian, Kanchana Patarachoke kepada pemberita di Bangkok, sambil menambah jumlah yang cedera meningkat kepada 13 orang.

Difahamkan penerbangan penghantaran pulang fasa pertama warga Thailand yang cedera dijangka tiba di tanah air pada Khamis.

Kanchana berkata, lebih 5,000 rakyat Thailand telah memohon penghantaran pulang.

Menurut Kementerian Buruh Thailand, terdapat kira-kira 30,000 warga negara Thailand di Israel yang kebanyakannya bekerja dalam sektor pertanian. - AFP

Artikel Berkaitan: