Bangga anak Felda Chemomoi, Amizar menang PRK Pelangai

Dari kiri: Siti Hawa, Abdul Aziz, Misman, dan Masitah
Dari kiri: Siti Hawa, Abdul Aziz, Misman, dan Masitah
A
A
A

BENTONG - Penduduk khususnya di Felda Chemomoi di sini bangga dengan kejayaan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Amizar Abu Adam, 50, memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai tersebut.

Kejayaan Amizar yang juga anak peneroka dan membesar di Felda Chemomoi tersebut memberikan harapan kepada penduduk supaya lebih banyak pembangunan dilakukan di Pelangai selepas ini.

Antaranya bagi peneroka, Abdul Aziz Abdullah, 77, dia berharap kejayaan Amizar memenangi kerusi itu boleh memudahkan lagi segala perancangan untuk kemajuan di Pelangai selepas ini.

"Saya gembira ketika dapat tahu beliau (Amizar) diumumkan menang kerusi DUN ini, lebih mudah nak berunding, jumpa selepas ini.

"Kalau ditanya apa lagi pembangunan perlu dilakukan, saya berharap masalah perumahan generasi kedua serta lebih banyak peluang pekerjaan untuk generasi muda dapat disediakan," ujar warga emas itu yang mula memasuki rancangan tersebut pada 1970.

Seorang lagi peneroka, Misman Sadimin, 80, mengakui banyak perubahan dialami sejak memasuki rancangan itu pada 1970.

"Banyak kemajuan dinikmati peneroka Felda seperti saya menyebabkan BN tetap menjadi pilihan saya.

"Cuma ada beberapa lagi aspek perlu diperbaiki di sini seperti masalah lampu jalan, Internet dapat diselesaikan segera," jelas Misman lagi.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, generasi kedua di rancangan tersebut meminta nasib mereka terus mendapat perhatian kerajaan.

Siti Hawa Tumpang,52 memberitahu, masalah perumahan terus membelenggu mereka hingga kini.

"Masih banyak lagi generasi kedua terpaksa menumpang rumah ibu bapa mereka kerana sukar mendapatkan rumah sendiri.

"Kalau duduk satu rumah dihuni beberapa buah keluarga itu sudah menjadi perkara biasa," ujar pembantu kedai itu juga berharap legasi Allahyarham Datuk Seri Johari Harun diteruskan oleh Amizar.

Rakannya, Masitah Mohd Satapar, 44 pula berharap nasib ibu tunggal mendapat perhatian dengan lebih banyak peluang disediakan untuk golongan itu berdikari dan mencari sumber rezeki.

"Kalau boleh sediakan tempat dan kursus kemahiran yang sesuai untuk membantu ibu-ibu tunggal di sini," jelas Masitah lagi.