PRK Pelangai: BN berjaya sekat gelombang hijau - Wan Rosdy

Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

BENTONG - Kemenangan Barisan Nasional (BN) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai membuktikan usaha parti itu berjaya menyekat kemaraan gelombang hijau daripada Perikatan Nasional (PN).

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ini kerana isu-isu agama, kaum dan institusi diraja (3R) tidak mendapat tumpuan di hati pengundi Pelangai dan Pahang.

"Jadi saya percaya atas sebab itu lah pengundi-pengundi di Pelangai menolak corak kepimpinan tersebut dan memilih BN.

"Rakyat sudah mula sedar berbanding (pihak) satu lagi yang memainkan sentimen yang mengelirukan rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas keputusan rasmi calon bertanding dalam PRK DUN Pelangai di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul pada Sabtu.

Pengerusi BN Pahang memaklumkan kerajaan Pahang ingin memberikan kesejahteraan kepada rakyat dan mahu membantu rakyat pada setiap masa.

Justeru katanya, kerajaan pasti akan memikirkan bagaimana untuk membantu rakyat.

"Jadi sebab itu kita perkenalkan bantuan Prihatin Pahang sebagai contohnya. Di kawasan Felda pun, kita ada membuat perubahan generasi kedua Felda, dan usaha ini akan diteruskan.

Artikel Berkaitan:

"Sebab itu, dalam siri kempen saya, kita banyak menawarkan apa yang boleh berikan kepada pengundi di Pelangai berbanding kita memainkan persepsi, sentimen dan juga mengeluarkan fitnah semasa berkempen," ujar Wan Rosdy

Beliau turut bersyukur kerana pengundi-pengundi telah membuat pilihan yang bijak.

"Saya percaya YB (Yang Berhormat) Datuk Amizar (Abu Adam) akan dapat meneruskan tugas beliau sebagai wakil di kawasan ini," katanya.

BN berjaya mengekalkan kerusi DUN Pelangai dengan majoriti 2,949 undi, apabila Amizar berjaya memperoleh 7,324 undi, berbanding calon PN, Kasim Samat yang mendapat 4,375 undi, manakala calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli hanya 47 undi.