Menang DUN Pelangai, sokongan belia meningkat - Ahmad Jazlan

Reaksi Amizar Abu Adam selepas diisytiharkan sebagai pemenang PRK DUN Pelangai pada Sabtu. Foto Bernama (Gambar kecil: Ahmad Jazlan)
Reaksi Amizar Abu Adam selepas diisytiharkan sebagai pemenang PRK DUN Pelangai pada Sabtu. Foto Bernama (Gambar kecil: Ahmad Jazlan)
A
A
A

KOTA BHARU - Pengerusi Sekretariat Kerajaan Perpaduan Madani Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub menegaskan kemenangan Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai pada Sabtu memperlihatkan sokongan golongan belia terhadap Kerajaan Perpaduan meningkat.

Katanya, ia terbukti apabila BN menang lapan daripada sembilan saluran anak muda.

"Ini menunjukkan pengundi mula sedar bahawa gabungan Kerajaan Perpaduan Nasional diantara kerjasama Pakatan Harapan (PH)-BN inilah yang terbaik buat rakyat yang mementingkan hubungan harmoni pelbagai kaum.

"Bagaimanapun, kita akui banyak lagi perlu diperbaiki prestasi dan tahap keyakinan pengundi-pengundi Melayu terhadap kerjasama gabungan ini yang baharu sahaja mencapai setahun," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi UMNO Kelantan turut mengucapkan sekalung tahniah kepada Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Besar Pahang di atas kejayaan mempertahankan kerusi DUN Pelangai di dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini.

Ujarnya, tidak lupa juga kepada seluruh jentera BN dan PH yang bertungkus lumus bekerja keras bagi memberi kemenangan kepada calon Kerajaan Perpaduan.

Pada PRK itu, calon BN, Datuk Amizar Abu Adam berjaya memenangi kerusi tersebut selepas menewaskan Kasim Samat (Perikatan Nasional) dan Haslihelmy DM Zulhasli (Bebas).

Amizar memperoleh 7,324 undi manakala dua pencabarnya Kasim (4,375 undi) dan calon Haslihelmy (47 undi) sekali gus menang dengan majoriti 2,949 undi.

Artikel Berkaitan: