Kemenangan Pelangai bukti keyakinan rakyat terhadap BN - Azalina

Azalina
Azalina
A
A
A

SHAH ALAM - Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai merupakan bukti keyakinan rakyat semakin meningkat terhadap parti itu dan dasar-dasar yang dilaksanakan oleh Kerajaan Perpaduan.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kejayaan itu juga memperlihatkan nilai kesepakatan utuh di antara BN dan Pakatan Harapan (PH) dari segi bekerjasama di peringkat pentadbiran, pengurusan negara serta pengurusan pilihan raya bagi memastikan kemakmuran dan kesejahteraan negara yang berterusan.

“Tahniah kepada calon BN, Datuk Amizar Abu Adam yang telah memenangi PRK DUN Pelangai. Saya yakin dan percaya bahawa Amizar akan menjalankan tugas dan tanggungjawab kepada rakyat dengan baik dan cemerlang,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Pada Sabtu, BN berjaya mempertahankan kerusi DUN Pelangai apabila Amizar memperoleh 7,324 undi, sekali gus menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat yang memperoleh 4,375 undi manakala calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli mendapat 47 undi.

Dalam pada itu, Azalina turut menzahirkan penghargaan terhadap semua pihak berkepentingan yang membantu sepanjang kempen PKR di Pelangai.

“Setinggi-tinggi penghargaan kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta seluruh jentera pilihan raya parti BN dan PH yang telah bertungkus lumus berganding bahu mencipta kemenangan.

“Terima kasih kepada para pengundi Dewan Undangan Negeri Pelangai kerana telah memberi sokongan dan kepercayaan terhadap BN. Amanah ini akan dijunjung dan diterjemah kepada khidmat bakti kepada rakyat Pelangai,” ujarnya.

Artikel Berkaitan: