LOTTE Chemical Titan kongsi rezeki

Che Zakaria (dua,kiri) dan Salehaldin (empat,kiri) ketika mengagihkan bubur lambuk kepada peniaga di sini hari ini.
A
A

PASIR GUDANG - Syarikat petro kimia, LOTTE Chemical Titan Holding Berhad mengedarkan 1,250 bungkus bubur lambuk kepada orang ramai, hari ini.

Naib Presiden Sumber Manusia, Perolehan, Teknologi Maklumat dan Hal Ehwal Kerajaannya, Salehaldin Nasron berkata acara tahunan itu sebagai salah satu perkongsian rezeki antara syarikat itu dengan komuniti setempat.

"Ini kali ke-13 kita laksanakan sejak tahun 2007 di mana setiap tahun kita tambah jumlah bungkusan yang diedarkan. Jika tahun lepas kita edarkan 800 bungkus sahaja setiap minggu tapi kali ini kita edarkan 1,250 bungkus seminggu iaitu setiap Rabu.

"Jadi untuk sepanjang Ramadan kita edar empat kali dengan sasarannya 5,000 bungkus. Ini salah satu cara kami berkongsi rezeki dan memberi kembali kepada komuniti," katanya kepada pemberita pada program mengedar bubur lambuk di Terminal Bas dan Teksi Pasir Gudang, hari ini.

Dalam program itu, bubur lambuk dibungkus di terminal dan diedar kepada pengunjung dan peniaga bazar dan serta orang ramai yang menggunakan perkhidmatan awam di situ.

Menurutnya, program pertama telah berjalan minggu lalu di lokasi sama sementara baki dua lagi program akan berlangsung di Terminal Bas Larkin Sentral.

"Kita harap dapat teruskan program ini untuk masa akan datang di mana kos tahun ini pun lebih sedikit iaitu RM30,000. Bubur lambuk ini makanan tradisi di Johor sebab itu kita pilih menu sama setiap tahun," katanya.

Sementara itu, Adun Permas, Datuk Che Zakaria Mohd Salleh berkata usaha itu wajar dicontohi syarikat lain di kawasan ini.

"Syukur Alhamdulillah LOTTE berterusan berbahagi rezeki dan kali ini sudah masuk tahun ke-13 mereka laksana program seumpama ini. Program sebegini amat baik untuk komuniti supaya sama-sama merasa," katanya.

Beliau sempat meluangkan masa kira-kira sejam mengagihkan bubur lambuk kepada orang ramai serta peniaga di sini.