'11 MP Umno tidak 'sign' akuan sumpah sokong Tun M'

Lokman Noor Adam
Lokman Noor Adam
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam mendakwa 11 orang ahli Parlimen BN tidak menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad jika berlaku undi tidak percaya terhadap beliau di Dewan Rakyat.

Dakwanya, 11 ahli Parlimen (MP) itu antaranya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Najib Razak, Datuk Seri Ahmad Maslan, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, Datuk Seri Nazri Aziz dan Tengku Razaleigh Hamzah serta beberapa nama lain.

"Malangnya, sepertimana yang saya jangkakan, peringkat demi peringkat, mereka menyusun MP yang telah menandatangani SD ini untuk keluar parti dan meletakkan kesalahan ke atas Presiden Umno, Datuk Seri Zahid Hamidi dan mendesak beliau berundur.

"Salah seorang yang mengusahakan gerakan menarik MP untuk dipersembah kepada Tun M alhamdulillah telah keluar parti semalam, Datuk Seri Hamzah Zainuddin. Cuma yang menyedihkan, sudahlah tidak mempunyai rasa aib meninggalkan parti, ada hati pula beliau ingin mengugut Presiden supaya berundur jika tidak mahu 10 lagi MP Umno lompat parti," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab dakwaan Hamzah Zainuddin bahawa ada 36 orang MP Umno telah menandatangani SD menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad jika berlaku undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri di Dewan Rakyat.

Dalam pada itu beliau turut mengingatkan pemimpin Umno yang keluar parti agar tidak sesekali meletakkan kegagalan mereka sendiri hendak dipindahkan untuk dipikul oleh Ahmad Zahid.

"Bagi saya, pemergian pemimpin-pemimpin Umno ini adalah hadiah istimewa bagi akar umbi Umno.

"Mereka yang pergi adalah mereka yang mempunyai masalah dan bimbang akan didakwa," katanya.

Artikel Berkaitan: